fbpx

[VIDEO] ‘Tetamu Allah seperti ibu bapa saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AZIR SHAHRIL (kanan) memberi penerangan kepada jemaah sebelum mereka turun dari bas di hentian As Sahel, Wadi Starah.

MEKAH – “Saya anggap semua jemaah haji ini macam ibu bapa sendiri.”

Demikian ujar Pengurus Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) Tabung Haji (TH), Mohd. Azir Shahril Ahmad mengenai keazamannya dalam menyantuni dhuyufurrahman dalam setiap operasi haji.

Beliau berkata, tahun ini merupakan kali pertama beliau bertugas sebagai pasukan respons kecemasan di lebuh raya dan sebelum ini berpengalaman dalam operasi Masyair di Mekah.

“Jadi macam mana saya jaga jemaah seperti itulah saya jaga ibu bapa sendiri. Ini lagi-lagi tetamu Allah, jadi saya kena jaga sebaik-baiknya sebagai anggota TH saya kena berkhidmat demi kebaikan TH. Ini tanggungjawab saya,” katanya.

Pasukan PPKL terdiri daripada dua petugas serta tiga pembantu akan memberikan bantuan segera sekiranya bas-bas dinaiki jemaah haji dari Madinah ke Mekah mengalami kerosakan, kemalangan dan kecemasan lain termasuk memastikan tiada jemaah tertinggal kenderaan.

Jelas Mohd. Azir Shahril, dua-dua tugasnya sama ada di PPKL dan Masyair mempunyai cabaran berbeza walaupun cuaca di dua lokasi tersebut, namun dalam tugasnya di lebuh raya dia perlu memastikan rombongan jemaah itu berada dalam keadaan selamat.

“Kita perlu tahu keberadaan dan lokasi bas di antara Madinah dan Mekah, jadi kita akan kerap berhubung tengok di mana jemaah berada jika berlaku apa-apa kecemasan di lebuh raya.

“Alhamdulillah setakat KT009 ini tiada apa-apa kecemasan luar biasa berlaku. Cuma ada ketibaan yang lewat, itu sahaja,” ujarnya.

Katanya, tugasnya bermula sebaik pergerakan bas jemaah dari Madinah ke Mekah dan dalam Fasa 2 nanti apabila jemaah dari Mekah berangkat ke Madinah.

“Macam hari ini (kelmarin) terdapat dua KT bergerak ke Mekah jadi saya berada di Wadi Starah ini sejak pukul 8 pagi. Tugas selesai selepas keseluruhan bas tiba di Mekah kira-kira pukul 8 malam,” katanya.

Terdahulu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun sempat meninjau operasi serta menyantuni petugas PPKL yang berpusat di hentian rehat dan rawat As Sahel, Wadi Starah yang terletak kira-kira 200 kilometer masing-masing dari Mekah dan Madinah.

Mohd. Hisham berkata, jemaah haji Malaysia dari Madinah atau Mekah akan berhenti di hentian tersebut untuk berehat selama sejam bagi bersolat dan makan.

“TH sentiasa mengambil berat akan perjalanan jemaah haji di mana PPKL ini akan jadi yang pertama tiba jika bas-bas dinaiki jemaah berlaku kecemasan di lebuh raya.

“Kita pantau secara online dan pastikan mereka ini sampai ke tempat yang dituju. Ini adalah salah satu pengorbanan petugas kebajikan TH. Kita ucapkan terima kasih kepada petugas PPKL di sini walaupun jauh dari Mekah mahupun Madinah dan Jeddah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang jemaah, Mohamad Hamzah Che Rus, 60, berkata, dia tidak mengetahui wujudnya pasukan PPKL itu, dan kagum dengan operasi TH yang sistematik dan teratur dalam menyantuni dhuyufurrahman.

“Perkhidmatan yang diberikan ini bagus, selesa selain semua berjalan lancar. Informasi semua jelas dalam memastikan kami tiada yang tertinggal,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI