PETALING JAYA – Industri aeroangkasa Malaysia mencatatkan rekod pendapatan tertinggi dalam sedekad iaitu RM25.1 bilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tahun 2024 menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa.
“Tetapi kita juga perlu bersedia menangani cabaran seperti tarif Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Tengku Zafrul berkata, beliau turut menekankan tentang kepentingan industri itu pada Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia.
Menurutnya, dalam mesyuarat itu beliau menekankan bahawa industri aeroangkasa Malaysia di peringkat global perlu diperkukuhkan.
Pada 11 Mac lalu, Tengku Zafrul bertemu dengan Rolls-Royce & Partners Finance di London untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa global yang dinamik.
Beliau dipetik sebagai berkata, dengan ekosistem aeroangkasa yang pesat berkembang, Malaysia kini hab kedua terbesar di ASEAN.
Ujar beliau, perbincangan antaranya untuk memperluaskan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Nilai, Negeri Sembilan.
“Memperkenalkan pembiayaan Islam dalam sektor pajakan enjin pesawat , langkah strategik yang akan melonjakkan daya saing Malaysia dalam aeroangkasa dan kewangan Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE