SEPANG – Pelakon dan pelawak, Along Cham memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini bahawa dia pernah melafazkan cerai talak satu buat kali pertama terhadap isterinya Afreena Suhaimi pada Jun 2024.
Dalam keterangannya hari ini, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata lafaz cerai pertama kali itu dibuat pada 18 Jun 2024.
Menurut Along, lafaz itu berbunyi ” Afeena Binti Suhaimi, aku ceraikan engkau dengan talak satu,” yang mana lafaz itu dibuat di rumah mereka di Cyberjaya di sini.
“Setiap kali sikapnya terbongkar, dia mendesak saya ceraikannya, malah dia minta untuk berpisah lebih daripada 10 kali. Ketika itu terlalu banyak penipuan dan desakan berlaku, jadi saya cakap “aku ceraikan kau Afreena binti Suhaimi dengan talak satu”, katanya.
Bagaimanapun, Along berkata, selepas dipujuk dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan, mereka akhirnya rujuk semula sebagai suami isteri.
Ketika itu katanya, lafaz rujuk dibuat di hadapan Afreena sendiri dengan perkataan “ok, kita rujuk”.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi kemudian menetapkan 1 dan 3 julai ini bagi menyambung keterangan Along selaku plaintif itu.
Semasa prosiding Along diwakili peguam syarienya Muhammad Akmal Amzan, manakala Afreena diwakili peguam syarienya Mohamad Iezwan Ielias.
Sebelum ini, Along memaklumkan dia nekad menfailkan cerai secara lafaz taklik terhadap Afreena disebabkan wanita itu sudah melanggar tiga perkara taklik yang dipersetujui mereka.
Terdahulu, Along bertemu jodoh kali kedua dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas lapan tahun hidup menduda apabila bercerai dengan bekas isteri pertamanya, Zila Saeron pada September 2016. – KOSMO! ONLINE