fbpx

Pamela pernah fail semakan kehakiman pada SPRM dua hari sebelum hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Pamela Ling Yueh pernah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya dua hari sebelum dilaporkan hilang.

Menerusi kenyataan media hari ini, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Pamela berkata, Pamela membuat permohonan itu pada 7 April lalu, yang mana wanita itu mendakwa menerima tekanan daripada pihak SPRM berhubung siasatan kes di bawah Akta SPRM dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Walaupun sentiasa memberi kerjasama penuh, namun beliau dikenakan sekatan perjalanan tanpa sebarang penjelasan. Lebih mengejutkan, kehilangan Pamela berlaku pada hari beliau dijadualkan hadir ke SPRM buat kali kesembilan.
Amat mengejutkan apabila pihak SPRM tiba-tiba senyap mengenai kehilangan Pamela,” katanya.

Meskipun tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan, peguam itu mendakwa Pamela masih dikenakan sekatan perjalanan sejak Oktober 2024 termasuk melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Sebelum ini, polis berkata siasatan dalam kes kehilangan Pamela tertumpu ke arah suaminya iaitu, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes masih lagi sedang disiasat dengan mengambil kira kemungkinan individu lain turut terlibat sebagai suspek.

Ujarnya, setakat ini polis telah merakam sebanyak 16 percakapan termasuk suami mangsa dan saksi-saksi penting lain.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM, Putrajaya sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Difahamkan, Pamela bersama suaminya dalam proses penceraian yang rumit membabitkan harta bernilai tinggi.

Menurut peguam, Datuk N. Sivananthan, Pamela dan suaminya juga sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes penggubahan wang haram.

Untuk rekod, Thomas Hah merupakan pengasas sebuah syarikat konglomerat meliputi pengurusan hartanah, perladangan, perhutanan, pelaburan, dan perkapalan.

Kesemua entiti syarikat itu yang bertapak di Miri, Sarawak didapati melabur dalam pelbagai pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China, dan New Zealand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI