SETIAP pelajar mempunyai tahap kecerdasan dan kelebihan tersendiri yang perlu dipupuk serta dididik dengan sokongan pelbagai pihak supaya mereka tidak rasa ditinggalkan. Perhatian ini perlu diberikan sama rata tidak hanya kepada pelajar cemerlang semata-mata.
Mereka yang paling dekat dengan pelajar adalah guru-guru di samping peranan ibu bapa di rumah. Oleh itu, tugas sebagai pendidik ini sangat besar kerana mereka bukan hanya perlu memberikan ilmu tetapi juga memastikan apa yang disampaikan itu dapat diterima dengan baik oleh para pelajar.
Pada masa sama, guru-guru juga perlu peka dengan keadaan pelajar-pelajarnya bagi memastikan tidak seorang pun rasa ketinggalan dan disisihkan ketika menuntut ilmu.
Baru-baru ini tular perkongsian seorang guru bernama Muslim Ismail di ruangan Facebooknya yang sangat menyentuh hati mengenai bekas pelajarnya yang baru sahaja pergi menghadap Ilahi beberapa hari sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.
Menurut Muslim, pelajar itu hampir dibuang sekolah ketika di tingkatan empat kerana kerap ponteng, namun dengan usaha berterusan guru-guru dan kaunselor, dia kembali meneruskan persekolahan.
“Seorang murid yang baik dan lurus, tiada masalah disiplin, cuma kerap tidak hadir ke sekolah.
“Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat.
“Tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai. Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan,” tulis guru itu.
Kongsi Muslim, pelajar tersebut tidak pernah lulus mata pelajaran landskap yang dia ajar, tetapi dalam keputusan SPM baru-baru ini, pelajar itu memperoleh keputusan A-.
“Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tak marah pun sebab aku tahu kelemahannya.
“Dia dapat A-.Tapi aku tak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah pergi isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks.
“Awak tak banyak dosa, nanti tolong saya kalau saya di sebelah satu lagi, pinta pada Tuhan supaya saya diampunkan,” luahnya.
Daripada kisah ini kita belajar mengenai kasih sayang seorang guru terhadap anak didiknya dan betapa penting untuk memahami jiwa pelajar.
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub, tugas guru sebagai pendidik sangat mulia dan dikira sebagai sedekah fisabilillah.
“Guru ini cukup mulia, saya berpesan kepada diri saya dan semua guru, jadilah guru yang mendidik. Maksudnya, bukan sekadar ajar habiskan silibus dan biarkan sahaja pelajar hendak berbuat apa sahaja ataupun membiarkan dia dalam kelaparan, bukan begitu.
“Setiap saat yang kalian gunakan untuk mendidik anak bangsa dan agama ini kesemuanya akan dikira sebagai sedekah fisabilillah,” katanya dalam siri ceramah yang dikongsikan di media sosial.















