fbpx

5,256 jemaah Malaysia tiba di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HISHAM (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat TH Mekah, Hotel Abraj Janadriyah di Mekah hari ini.

MEKAH – Seramai 5,256 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah melalui 19 penerbangan setakat semalam.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun, daripada jumlah tersebut seramai 830 jemaah haji telah tiba secara berperingkat di Mekah semalam.

Beliau berkata, operasi haji tahun ini yang bermula pada 29 April lalu telah pun berjalan dengan baik dan lancar sama ada di tanah air maupun di Tanah Suci.

“Jadi sebanyak 19 penerbangan telah pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz di Madinah daripada keseluruhan 100 penerbangan tahun ini.

“Setakat hari ini, seramai 5,256 jemaah telah pun berada di Tanah Suci, di mana 4,419 berada di Madinah dan 837 jemaah haji telah pun berada di Mekah bermula 4 Mei (semalam),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Mekah, Hotel Abraj Al-Janadriyah hari ini.

Pecahan jemaah yang telah tiba di Mekah mengikut kumpulan adalah seramai 253 jemaah daripada kumpulan KT001, 328 orang daripada KT002 dan KT003 seramai 256.

SEBAHAGIAN jemaah haji Malaysia menuju ke Masjidil Haram sambil bertalbiah ketika menunaikan ibadah umrah semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 47 penerbangan bakal mendarat di Madinah, manakala 53 penerbangan akan mendarat di Jeddah sebelum terus masuk ke Mekah.

“Alhamdulillah jemaah haji yang telah sampai ke Mekah telah selesai menunaikan ibadah umrah masing-masing (semalam).

“Insya-Allah kerana waktu wukuf adalah lebih kurang 30 hari lagi, TH telah merangka pelbagai aktiviti termasuk bimbingan untuk mereka mengisi masa mereka di sini,” katanya.

Mengulas mengenai jemaah-jemaah yang berkerusi roda atau mempunyai kelainan upaya pula, ujarnya, petugas TH akan memanggil taksi-taksi untuk membawa mereka dari maktab ke Masjidil Haram bagi ibadah tawaf dan saie.

“Sebagai contoh sama ada untuk tawaf ataupun saie, selain daripada disorong oleh waris terdekat ataupun pengiring masing-masing, terdapat juga kemudahan untuk mereka menggunakan taksi dari maktab atau hotel ke Masjidil Haram.

“Jadi insya-Allah kita akan cuba membantu memudahkan pergerakan mereka yang kurang upaya serta menggunakan kursi roda tersebut,” katanya.

Selain itu, Mohd. Hisham berkata, terdapat seorang jemaah perempuan yang dimasukkan di pusat rawatan TH di Roha Al Madinah di Madinah.

“Keadaan jemaah ini stabil, cuma menunggu masa yang sesuai untuk datang ke Mekah serta berniat umrah. Selain daripada tu semuanya keadaan sihat, alhamdulillah.

“Jadi untuk keluarga jemaah di tanah air jangan bimbang, kita mempunyai pasukan rombongan perubatan yang mencukupi untuk menjaga dan memberi nasihat berkaitan dengan kesihatan,” ujarnya.

Beliau menasihatkan jemaah haji sekiranya berlaku apa-apa masalah kesihatan agar segera pergi ke klinik kesihatan yang disediakan di maktab-maktab. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI