JIKA dahulu, dia hanyalah remaja biasa yang menghabiskan masa lapangnya bermain Mobile Legends di telefon pintar.
Kini, suaranya menjadi antara yang paling dikenali dalam arena e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) tempatan, menyemarakkan semangat penonton dengan analisis tajam, celoteh penuh tenaga dan ulasan yang mencetuskan adrenalin setiap kali wira-wira bertempur di Land of Dawn.
Perjalanan menjadi caster e-sukan bukanlah semudah yang disangka, namun Putra Ammar Qayyim Zulaadi membuktikan bahawa dengan minat mendalam, kerja keras dan kefahaman mendalam tentang permainan, sesiapa sahaja boleh menukar hobi kepada kerjaya yang bermakna.
Berkongsi perjalanan kerjaya bersama K-Remaja, pemuda berusia 20-an yang lebih mesra disapa Mars itu memberitahu ia bermula sewaktu pandemik, ketika dia baru sahaja memperoleh ijazah dari Universiti Kuala Lumpur – Malaysia France Institute (UniKL MFI) pada 2019.
“Saya mula menceburi bidang e-sukan tahun 2019, sewaktu gelombang Covid-19 melanda negara.
“Akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), proses mencari kerja saya ketika itu tidak boleh diteruskan. Saya pada mulanya berminat untuk menjadi ‘Pro-
Player’ dalam MLBB, namun dengan bantuan beberapa kenalan yang ada ketika itu, kami mulakan sebuah liga hanya dari rumah.
“Memandangkan tiada caster ketika itu, maka saya jadi bidan terjun dalam arena ulasan e-sukan, biarpun tanpa sebarang pengalaman,” katanya.
Mars berkata, MLBB menjadi permainan pertama yang diulas, diikuti Free Fire. Namun, MLBB merupakan sesuatu yang lebih dekat dengan jiwanya, memandangkan dia sudah didedahkan dengan permainan tersebut sejak bergelar pelajar universiti.
“Saya pernah terlibat dalam beberapa program MLBB seperti Moonton Student Leader sewaktu masih bergelar pelajar ijazah sarjana muda.
“Ia merupakan faktor besar mengapa saya memulakan karier saya dalam pengulasan MLBB memandangkan saya lebih mahir dalam permainan tersebut.
“Debut saya secara rasmi di Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) pula adalah pada musim ke-8, hari yang ke-2, sewaktu pasukan Suhaz Esports menentang Geek Fam,” jelasnya.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu juga baru-baru ini berjaya dinobatkan sebagai Caster Terbaik bagi MPL MY Musim ke-13, yang merupakan antara momen paling dihargai sepanjang penglibatan sebagai caster.
Kongsi Mars, kejayaan itu tidak datang dengan mudah, bahkan dia juga pernah berdepan momen menyedihkan, apabila hampir disingkirkan sebagai caster pada MPL MY musim ke-11, dek kerana kesukarannya untuk mencari identiti sendiri saat mengulas.
“Secara peribadi, cabaran paling besar sewaktu permulaan karier saya sebagai pengulas rasmi MPL MY adalah pada musim ke-9 dan ke-10.
“Saya mempunyai masalah yang sangat kritikal untuk mencari identiti dan karakter sendiri dalam menyampaikan ulasan. Untuk kekal sebagai pengulas utama MPL MY, saya perlu mencari identiti sendiri yang istimewa, berbeza dengan pengulas biasa yang lain.
“Masalah yang saya alami ini menyebabkan saya hampir untuk disingkirkan pada musim ke-11, namun saya diberikan peluang sekali lagi pada musim seterusnya, dan terus menunjukkan prestasi terbaik sehingga saya berjaya mencapai anugerah pengulas terbaik pada musim ke-13,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terus mempercayai kebolehannya seperti rakan-rakan dan isteri.
Berkongsi pandangan tentang perkembangan e-sukan negara ketika ini, Mars melihat e-sukan boleh menjadi satu cabang yang dapat dimanfaatkan oleh anak muda sebagai platform untuk menjadi peneraju yang berjaya.
“Bahkan, saya nampak usaha daripada pihak kerajaan juga sudah semakin banyak, khususnya buat golongan muda dengan mendorong mereka menggunakan saluran yang betul dalam bidang e-sukan.
“Sekiranya perkara positif ini berterusan dan e-sukan telah dilihat sebagai satu kokurikulum yang baik untuk masyarakat sejagat, tidak mustahil dalam tempoh lima tahun akan datang kita akan berjaya lahirkan lebih ramai anak muda yang berbakat dalam e-sukan serta mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya yang berbangga apabila melihat pasukan SRG yang berjaya memenangi kejuaraan dunia pada tahun lalu.
Buat mereka yang berhasrat mahu menjadi pengulas sepertinya pula, Mars berkongsi bahawa tiada jalan mudah untuk capai kejayaan.
“Sentiasa mencabar diri untuk menjadi lebih baik, serta sentiasa terbuka untuk menerima kritikan dan pendapat orang lain yang berbeza dengan kita.
“Kukuhkan asas sebagai pengulas terlebih dahulu, dan mula bina personaliti sendiri untuk membuatkan anda berbeza dan istimewa berbanding pengulas yang lain. ‘Pelan-pelan’ kayuh!,” katanya.














