fbpx
Pasukan Malaysia berada di podium tertinggi pada acara berpasukan International Challenge Kejohanan Sport Stacking Dunia 2025 di Switzerland April lalu mengatasi pasukan Taiwan (kiri) dan Korea Selatan (kanan).

Malaysia jaguh sukan stacking, cipta rekod dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUNYI cawan plastik bertingkah pantas bergema di dalam ruang kedai kosong itu, sekali gus memecah keheningan pagi.

Tangan Brandon Wong Jun Xian bergerak sepantas kilat, menyusun cawan, meruntuhkannya, kemudian mengaturnya semula dengan penuh tumpuan.

Nafasnya ditahan, mata tertumpu hanya pada susunan di hadapan dengan harapan mampu mengejar masa.

Dalam beberapa saat, susunan terakhir selesai. Dengan spontan, remaja berusia 19 tahun itu mengangkat tangan tinggi sebagai tanda tamat.

Aksi Brandon di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur itu merupakan demonstrasi sukan stacking iaitu sukan yang melibatkan penyusunan semula cawan plastik khas dalam urutan tertentu dengan pantas dan tepat.

Menurut pelajar jurusan perniagaan di Universiti Monash, Subang Jaya, Selangor itu, sukan stacking menguji dan melatih koordinasi tangan dan mata, kelajuan, tumpuan serta memori otot.

“Untuk kekal fokus ketika bertanding, saya menggunakan teknik tunnel vision dengan mengabaikan penonton dan hanya memberi tumpuan kepada cawan serta pengadil di hadapan.

“Bagi mengatasi rasa gementar, saya amalkan teknik pernafasan dalam untuk tenangkan diri sebelum mula aksi,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk rekod, Brandon ialah salah seorang ahli pasukan Sukan Stacking Malaysia yang telah mengekalkan gelaran juara selama tiga tahun berturut-turut pada Kejohanan Sport Stacking Dunia termasuk pencapaian terbaharu bagi edisi 2025 di Switzerland pada April lalu.

Selain itu, pada November 2023, rakaman video daripada Speed Stacks turut mengesahkan bahawa Brandon bersama rakan sepasukannya, Chan Keng Ian telah mencipta rekod dunia dalam acara doubles cycle dengan catatan masa 5.708 saat.

Dalam sukan stacking, terdapat beberapa kategori utama yang dipertandingkan iaitu acara individu, acara beregu (doubles) dan acara berganti-ganti (relay). Bagi acara individu, peserta perlu menyusun dan menyusun semula cawan dalam tiga bentuk susunan utama: 3-3-3, 3-6-3 dan cycle.

Aksi cycle merupakan yang paling mencabar kerana melibatkan gabungan pelbagai susunan dalam satu masa.

Dalam acara beregu, dua orang peserta bekerjasama dengan seorang menggunakan tangan kanan dan seorang lagi tangan kiri untuk menyusun cawan dengan pantas dan tepat.

Kategori ini memerlukan kerjasama, komunikasi dan koordinasi yang sangat baik antara pasangan.

Acara berganti-ganti pula melibatkan pasukan yang terdiri daripada empat orang peserta yang akan menyusun cawan secara bergilir.

Setiap ahli akan mengambil giliran menyusun sebelum menyerahkan tugasan kepada ahli seterusnya, sekali gus menguji kecekapan serta kemampuan pasukan bekerja dalam masa yang singkat.

Terdapat juga acara Ibu Bapa dan Anak yang membolehkan peserta muda bertanding bersama ibu bapa atau penjaga.

Mengulas tentang penglibatannya, Brandon dedahkan bahawa dia mula menyertai sukan stacking pada tahun 2016 ketika berumur 10 tahun.

Dia memilih aktiviti tersebut sebagai kokurikulum di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Puay Chai 2, Petaling Jaya, Selangor.

Pertandingan pertamanya ialah Malaysia Open 2016 apabila dia berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan walaupun masih baharu dalam arena tersebut.

Pada tahun yang sama, dia terpilih menyertai pasukan kebangsaan untuk mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa pertamanya di Asia Open di Seoul, Korea.

Sejak itu, anak kelahiran Selangor ini telah mewakili Malaysia ke kejohanan di Sepanyol, Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland dan Taiwan.

Jelas Brandon, dia tetap meluangkan masa berlatih untuk pertandingan stacking biarpun sukan itu jarang menawarkan hadiah wang tunai seperti sukan lain.

“Sukan ini kurang popular berbanding sukan arus perdana dan semua perbelanjaan ditanggung sendiri.

“Namun, saya tetap teruskan penyertaan kerana minat yang mendalam dan keinginan untuk meraih pengalaman bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, atlet kategori special stacker, Umar Idris Mohd. Fazli mula bermain sukan stacking ketika berusia 14 tahun semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Kehandalan pasukan Malaysia dalam sukan stacking diakui dunia menerusi kejayaan demi kejayaan yang diraih pasukan negara.

Minat remaja autistik berusia 18 tahun itu terhadap sukan stacking tercetus apabila seorang jurulatih datang memberi penerangan selepas waktu rehat di sekolahnya.

Pada mulanya, Umar menyangka sukan tersebut hanyalah seperti sukan biasa-biasa, namun selepas mencuba sendiri, dia dapati ia sebenarnya cukup mencabar.

Pencapaian terbesar Umar setakat ini ialah mewakili Malaysia dalam Kejohanan Sport Stacking Dunia 2025 di Switzerland juga pada April lalu.

Di kejohanan itu, Umar mencatat masa terbaik dalam kategori Special Stacker (Level 1), termasuk masa 6.727 saat untuk aksi cycle, 1.804 saat untuk acara 3-3-3 dan 2.268 saat untuk acara 3-6-3.

Kongsinya, sukan stacking bukan sahaja beri ketenangan, malah turut jadi saluran untuk lepaskan tekanan emosi dan berikan kepuasan diri.

“Saya belajar banyak teknik melalui YouTube, terutama dengan menonton video dalam gerakan perlahan.

“Latihan dilakukan terutamanya pada hujung minggu sebab masih bersekolah. Biasanya saya berlatih sekitar dua hingga tiga jam sehari pada hujung minggu.

“Langkah awal stacking memang mudah, tetapi nak capai kelajuan perlukan latihan yang konsisten,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan sukan itu di Malaysia, Presiden Persatuan World Sport Stacking Malaysia (WSSA Malaysia), Alan Lim Joon Tatt berkata, segalanya bermula pada tahun 2007 apabila dia temui peralatan sukan stacking di China dan mula berlatih sendiri menggunakan cakera padat sebagai panduan.

Setahun kemudian, dia bersama enam rakan dan ahli keluarga sertai kejohanan pertamanya di Singapura dan muncul juara kategori Master 1.

Kejayaan itu mendorongnya perkenalkan sukan tersebut secara meluas di Malaysia sehingga usaha mereka diiktiraf secara rasmi pada tahun 2015 dengan penubuhan

Persatuan Sport Stacking Malaysia (MSSA) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

“Pada mulanya, hanya dua atau tiga sekolah di Malaysia terima sukan ini untuk dimasukkan ke dalam aktiviti kokurikulum mereka.

“Ramai sangka sukan ini adalah silap mata seperti bola disorok dalam setiap cawan. Tetapi selepas lebih 10 tahun berusaha, sukan ini akhirnya diiktiraf secara rasmi dan disertai oleh atlet dari semua peringkat umur, termasuk mereka yang berkeperluan khas,” katanya.

Harapan terbesar Alan adalah untuk melihat sukan ini diiktiraf dalam temasya besar seperti Sukan SEA dan kejohanan rasmi kebangsaan seperti di bawah Majlis Sukan

Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Kata Alan, perkara itu akan buka peluang lebih luas kepada bakat dari kawasan luar bandar dan sekolah yang terpencil.

“Biarpun sukan ini tidak popular seperti sukan lain, tapi ia dipertandingkan secara berprestij di peringkat dunia.

“Atlet Malaysia dah buktikan bahawa mereka mampu kalahkan peserta dunia dan jadikan ia sumbangan besar dalam arena sukan tempatan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN