PETALING JAYA – Pelakon serta pelawak, Zizan Razak dinasihatkan agar tidak menerima atau membawakan watak seperti Walid lakonan pelakon legenda negara, Faizal Hussien.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus secara berseloroh berkata, Zizan tidak sesuai untuk memegang watak seumpama itu, malah menasihatkan agar tidak menonjolkan perbuatan jahat dalam watak terutamanya watak sebagai imam.
“Daripada pakai serban baik Polis Evo, dia macam ni, jika kita jadi pengurus jenazah dan menguruskan jenazah yang ada ‘autority’ seperti tok imam, jika dapat alamat bahawa jenazah itu ada lakukan perkara tidak baik sebelum ini, jangan cerita dekat orang.
“Secara automatik orang akan mencela pekerjaan imam itu (jenazah), bukan mencela imam itu sendiri tetapi tugas atau pekerjaannya.
“Kalau bercerita secara umum tentang jenayah tanpa menyebut nama jenazah sebagai nasihat kepada orang ramai itu tidak mengapa, jika imam itu buka aib orang, maka orang ramai akan menganggap pekerjaan imam itu teruk.
“Orang akan mencela pekerjaan (imam) itu. Jadi orang fikir baik aku mengisap (dadah) kalau tengok imam pun macam ni,” jelas Azhar ketika sesi soal jawab agama di Festival Makka Fest 2.0 di Terengganu kelmarin.
Azhar turut berpesan, jika ada yang sengaja dan bermotif serta merendahkan agama maka perkara tersebut tidak harus berlaku.
“Ini yang berlaku jika ada motif dan sengaja menjatuhkan agama sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE