BANGKOK – Seorang bilionair yang dikenali sebagai ‘raja kopi Thailand’, dihukum penjara 24 tahun selepas didapati bersalah terlibat dalam kes penyelewengan tanah, lapor portal berita Thai PBS World semalam.
Mahkamah Jenayah bagi Kes Rasuah dan Salah Laku menjatuhkan hukuman itu terhadap Prayudh Mahagitsiri kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran surat hak milik tanah di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima.
Anak perempuannya, Usana dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan sama.
Prayudh, 79, juga ialah presiden Thainox Stainless Co., Ltd., yang mengendalikan perniagaan resort golf di Sikhio.
Dia didapati bersalah berpakat dengan pegawai Jabatan Tanah untuk memperoleh tanah di kawasan hutan simpan menerusi surat hak milik yang dikeluarkan secara haram.
Defendan juga membeli tanah dengan surat ikatan yang sah, menjadikan saiz padang golf Prayudh’s Mountain Creek diperluaskan lebih 30 hektar kepada 369 hektar.
Nilai bersih kekayaan Prayudh dianggarkan berjumlah AS$2.6 billion (RM11 bilion). – AGENSI