fbpx
SURIANI (tengah) merakam gambar kenangan bersama wakil YJM dan semua peserta program GRFW yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

K2

GRFW tingkat kesedaran kesihatan jantung wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSEMPENA bahang sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut Mac lalu, Yayasan Jantung Malaysia (YJM) tampil mengadakan program Go Red For Women (GRFW) di ibu kota pada Sabtu lalu.

GRFW diadakan bertujuan menggalakkan tahap kesedaran kesihatan jantung terutama dalam kalangan wanita di negara ini.

Serentak dengan program tersebut, turut diadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menghimpunkan lebih 150 orang peserta wanita daripada pelbagai latar belakang dan kaum.

Hadir merasmikan program ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad.

Dalam ucapan ringkas perasmiannya, Suriani menyifatkan program sedemikian wajar diperkenalkan dan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Ia wajar diadakan kerana masalah jantung tidak mengira siapa. Ia juga menjadi antara penyakit pembunuh tertinggi dalam negara.

“Justeru, menerusi program hasil inisiatif YJM ini, ia secara tidak langsung dapat membuka mata dan memberikan kesedaran kepada kita semua mengenai betapa pentingnya menjaga kesihatan jantung,” katanya.

ACARA senamrobik turut diadakan pada awal program untuk meningkatkan kecergasan peserta.

Pada program bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari itu, ia dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta, pemeriksaan kesihatan percuma dan senamrobik.

Seterusnya, program diteruskan dengan majlis perasmian GRFW sebelum diteruskan dengan sesi bicara santai bertajuk: Wanita Beraspirasi Membina Legasi Kesihatan Diri yang disampaikan barisan panel jemputan.

Usai sesi bicara selama sejam itu, agenda diteruskan dengan sesi jamuan sempena sambutan Aidilfitri.

Pelbagai juadah sinonim lebaran disediakan antaranya lemang, ketupat, nasi impit, kuah kacang, rendang, ayam masak merah, sayur lodeh dan banyak lagi.

Sambil menjamu selera, para peserta dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya. 

SESI pemeriksaan kesihatan percuma turut diadakan kepada semua peserta yang hadir dalam program.

Peserta turut dijemput naik ke pentas untuk menyanyi bersama memeriahkan suasana program.

Majlis berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata daripada wakil YJM kepada Suriani dan sesi merakamkan gambar kenangan.

Bagi seorang peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, ini merupakan kali pertama dia menyertai program anjuran YJM dan mendapat pelbagai input berguna.

“Selain memupuk kesedaran mengenai kesihatan jantung, saya juga berpeluang memeriksa tahap kesihatan terkini secara percuma.

“Di samping mendengar perkongsian kesihatan daripada panel jemputan, kami juga dijamu dengan pelbagai juadah dan dihiburkan dengan lagu-lagu raya.

“Ia merupakan satu program yang perlu diteruskan acaranya agar lebih ramai masyarakat terutama wanita cakna mengenai kesihatan jantung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN