MELAKA – Seorang murid perempuan tahun dua parah di dahi, manakala kakaknya luka di beberapa anggota badan dalam nahas langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin di Bukit Katil di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Qasyifa Hazlina Mohd. Hayider, 8, dan kakaknya, Nur Qarinah Hazirah,17, dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan kemalangan itu dibuat oleh mangsa pada pukul 12.32 tengah hari tadi dan pihaknya masih memburu pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Katanya, berdasarkan laporan dibuat mangsa, nahas berlaku selepas dia menjemput adiknya pulang dari SK Demang Hussin dengan motosikal Yamaha Ego Solaris.
“Mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Duyong. Sebaik melepasi sekolah motosikal ditunggang mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan tidak dapat dikenal pasti.
“Akibat pelanggaran itu, dua beradik tersebut terjatuh menyebabkan seorang daripada mereka cedera di muka, mata dan dahi berlubang, manakala pengadu (Nur Qarinah) luka di kaki dan tangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan.
“Kedua-dua mangsa perlu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan kes akan dirujuk kepada majistret kerana nombor kenderaan tidak dapat dipastikan sehingga ada perkembangan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE