GEORGE TOWN – Wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak lebih dua minggu lalu akhirnya tampil membuat membuat laporan polis semalam selepas sehari laporan kehilangannya tular.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, Irdina Syifa kini berada dalam keadaan selamat dan sihat.
“Individu terbabit ada membuat laporan polis pada 29 April, semalam menyatakan yang dia keluar rumah pada 12 April lalu secara rela hati.
“Laporan dibuat di sebuah balai polis di negeri lain dan dia kini dalam keadaan selamat serta sihat,” katanya di sini hari ini.
Isnin lalu, Kosmo! Online melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita berusia 22 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya sejak lebih dua minggu lalu.
Irdina Syifa yang berketinggian 160 sentimeter itu kali terakhir keluar dari rumahnya di Relau pada 12 April lalu. -KOSMO! ONLINE