PETALING JAYA – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) menyatakan komitmen untuk terus menganjurkan program yang memberikan impak positif kepada masyarakat meliputi bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan.
Pengerusi YSB yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, antara program yang akan dilaksanakan termasuk perkhidmatan ‘Mobile Health Screening’ menggunakan bas baharu.
“Ini merupakan hasil kerjasama bersama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Lions Club International Foundation. Kemudahan kesihatan bergerak ini dijangka mula beroperasi pada bulan depan,” titahnya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri YSB semalam.
Menyentuh program pendidikan, Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, Projek Titian Bistari (PTB) merupakan projek pendidikan jangka panjang yang akan diteruskan bagi memperkasakan golongan pelajar.
“Melalui projek ini, YSB memperkenalkan kelas tuisyen percuma subjek Matematik khusus untuk pelajar tahun empat, selain program Pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Bahasa Inggeris dan Matematik),” titahnya.
Titah Tunku Temenggong Kedah, YSB juga akan menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti sumbangan perayaan, geran tahunan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedah, bantuan bencana alam serta rawatan kesihatan.
“Melalui program-program ini, YSB amat mengalu-alukan sokongan dan sumbangan daripada semua pihak bagi membolehkan kami terus membantu golongan yang memerlukan, bukan sahaja di Kedah malah di kawasan sekitar,” titahnya. – KOSMO! ONLINE