LIPIS – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membongkarkan kegiatan melombong emas secara haram di Kampung Telemin, di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 2 petang itu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan, manakala empat lagi rakannya dapat meloloskan diri dengan lari ke kawasan hutan berhampiran.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, serbuan dilakukan oleh Skuad Elit UPNP selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan tidak sah tersebut.
“Ketika serbuan, kelima-lima suspek sedang melakukan aktiviti melombong dengan menggunakan peralatan berat seperti jengkaut, palong dan pam air. Seorang daripada mereka berjaya ditangkap ketika mencuci palong yang dipercayai digunakan untuk menapis mineral emas,” katanya di sini semalam.