fbpx
ZAKI sering bertengkar dengan isterinya disebabkan beban hutang ditanggung pada setiap bulan gara-gara sikap isterinya yang boros berbelanja dan 'tidak mahu kalah' dengan kawan-kawannya. Zaki akhirnya menceraikan isterinya.– Gambar hiasan

K2

Suami bengang isteri berhenti kerja nafsu besar berbelanja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKAHWINAN yang dibina oleh Zaki (bukan nama sebenar) bersama isterinya hanya bertahun selama lapan tahun.

Perkenalan mereka bermula sejak di universiti, sebelum memilih untuk mendirikan rumah tangga setelah masing-masing tamat pengajian dan mendapat pekerjaan.

“Rumah tangga yang kami bina ini diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata. Saya bekerja dalam sektor swasta, manakala isteri memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kami,” katanya yang kini berusia awal 30-an.

Zaki menjelaskan, disebabkan dia seorang sahaja yang bekerja, pendapatannya hanya cukup-cukup untuk menyara keluarga kecilnya.

Bagaimanapun, isterinya mempunyai sikap boros sehingga memberi tekanan kepada Zaki.

Sebelum ini, Zaki pernah melihat bagaimana borosnya isterinya berbelanja ketika dia masih bekerja dan mempunyai pendapatan.

“Ketika isteri saya bekerja, pendapatan dia tidaklah begitu besar, tetapi dia mempunyai nafsu berbelanja yang sukar terkawal.

“Setiap bulan gajinya dihabiskan dengan membeli barangan berjenama,” ceritanya.

Setelah berhenti kerja, isterinya sering meminta wang daripada Zaki untuk membeli barang yang bukan keperluan, sebaliknya lebih kepada kehendak.

Malah, Zaki sanggup membeli sebuah rumah berharga hampir RM500,000 untuk keselesaan isterinya.

“Isteri saya tidak mahu kalah dengan kawan-kawannya yang memiliki rumah dengan fasiliti lengkap seperti kondominium mewah.

“Pinjaman bank untuk membeli rumah telah diluluskan dan bayaran bulanan yang perlu saya bayar agak tinggi.

“Bukan itu sahaja, setelah mendapat kunci, isteri saya mahu renovate rumah tersebut. Habis wang simpanan saya digunakan untuk tujuan itu,” ulasnya.

Dalam pada itu, Zaki menjelaskan, isterinya juga meminta sebuah kereta baharu untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Isterinya tercabar setelah melihat kawan-kawannya menggunakan kereta berharga lebih RM100,000.

“Saya rasa amat terbeban untuk membayar rumah dan kereta pada setiap bulan. Separuh daripada pendapatan saya digunakan untuk membayar komitmen tersebut.

“Itu belum mengambil kira komitmen lain, malah saya juga mempunyai hutang kad kredit,” katanya.

Dalam pada itu, Zaki ada meminta isterinya untuk kembali bekerja memandangkan gaya hidup mereka boleh dikatakan agak mewah.

Malangnya, isterinya tidak mahu bekerja kerana ingin memberi fokus menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga anak.

Selera berbelanja isterinya juga amat besar, setiap minggu mereka sekeluarga pasti akan makan di luar.

Isterinya akan memilih tempat yang mereka ingin makan. Biasanya, dia memilih tempat makan yang mahal.

“Ada sekali, saya menegur isteri saya kerana perangainya yang terlalu boros berbelanja.

“Sebaliknya, dia cakap ia sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang suami memberikan apa yang dimahukan isteri,” terangnya.

Selain itu, Zaki memaklumkan, isterinya juga ada meminta dia melakukan pinjaman peribadi untuk dijadikan modal perniagaan.

Isterinya berhasrat membuka perniagaan sendiri bagi membantu mencukupkan pendapatan mereka sekeluarga.

“Zaki pada mulanya enggan berbuat demikian, setelah dipujuk oleh isterinya, dia mengalah dan membuat pinjaman peribadi.

“Namun, perniagaan yang ingin diusahakan oleh isterinya tidak menjadi dan mereka mengalami kerugian besar,” terangnya.

Hal itu telah membuatkan mereka bergaduh kerana isterinya seperti ingin melepaskan semua tanggungjawab dan beban kepada Zaki.

Disebabkan rasa terbeban dengan hutang, dia dan isterinya sering bergaduh.

Ini kerana, Zaki enggan lagi mengikut keinginan isterinya yang boros berbelanja.

“Saya perlu downgrade hidup saya, jika tidak saya akan berhadapan dengan masalah bankrap. Saya mengambil keputusan untuk menjual rumah dan kereta bagi mengurangkan bebanan hutang,” katanya.

Keputusan itu telah membuatkan isterinya marah, sebelum mereka bergaduh besar. Ketika bergaduh, isterinya telah menyatakan rasa kesal berkahwin dengan Zaki kerana tidak boleh memberikan kemewahan kepadanya.

Perkara tersebut telah membuatkan Zaki terasa hati, sebelum mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya.

Mereka akhirnya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang. Selepas bercerai, Zaki merasakan kehidupannya lebih tenang dengan memilih hidup secara sederhana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN