PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu warganya di Sabah memberi perhatian sepenuhnya memastikan kehadiran murid di sekolah dan pada waktu sama meningkatkan literasi.
Ini kerana kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sejak beberapa tahun lalu, Sabah telah menunjukkan peningkatan prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cukup baik.
Justeru, bagi terus memacu kecemerlangan itu katanya, seluruh warga pendidikan di Sabah perlu memecahkan tembok ‘psychological barrier’ yang mungkin masih membelenggu anak-anak.
“Anak-anak perlu percaya mereka boleh berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan. Keyakinan mereka perlu dipertingkatkan dan
bakat serta kebolehan mereka perlu digilap dan dihargai.
“Jika ada keperluan khusus seperti pembinaan asrama desa untuk memudahkan persekolahan anak-anak di pedalaman, kita akan berikan sepenuh perhatian,”katanya di laman Facebook.
Bagaimanapun kata Fadhlina, usaha itu memerlukan iltizam, komitmen dan tumpuan berterusan di semua peringkat.
“Mana mungkin saya tidur lena jika masih ada yang tidak ke sekolah, tiada kelengkapan atau menghadapi kendala-kendala lain yang menghambat. Anak-anak ini lahir dengan hak untuk mendapat pendidikan terbaik.
“Sebab itu komitmen kita di KPM adalah untuk menoktahkan isu keciciran murid menerusi pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah. Saya percaya putaran ganas pendidikan hanya dapat diputuskan menerusi pendidikan,”katanya.-KOSMO! ONLINE