Berapa banyak perkataan kalau yang kita ucap dalam sehari? Perkataan kalau dikaitkan dengan perkara kedua yang kita inginkan ia berlaku bagi membaiki atau menggantikan kejadian pertama.
Pemain golf paling banyak ucap kalau setiap kali mereka berada di atas padang. Menyalahkan benda lain adalah perkara biasa dan pemain memerlukan score card kalau untuk mendapatkan markah cantik.
Ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat kemalangan juga menggunakan kalau untuk membaiki keadaan. Mereka sering kata, ‘kalaulah dia tidak buat itu buat ini, mesti selamat’.
Mengimpikan perkara yang baik-baik berlaku pada kita merupakan cita-cita semua orang. Begitu juga dengan hasrat kerajaan untuk membasmikan kemiskinan. Kita yang mempunyai mata hati tentu tidak sanggup melihat kehidupan orang lain merempat bersama anak-anak.
Tidak salah kita berangan-angan kerana setiap yang menjadi kenyataan itu lahirnya daripada angan-angan. Sama juga bagi kita kalau benar-benar berhasrat membasmi kemiskinan.
Kalau seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah 33.4 juta orang dapat derma RM1 sehari kepada satu tabung kecemasan, kita mampu mengumpul lebih kurang RM33 juta (tolak bayi dan kanak-kanak) dalam tempoh 24 jam. Kalau sebulan jumlahnya akan meningkat hampir RM1 bilion.
Semua peringkat rakyat daripada murid sekolah hingga orang dewasa rasanya tiada masalah untuk mengeluarkan RM1 sehari. Duit belanja sekolah yang diterima boleh digunakan untuk menderma. Orang bekerja asingkan RM30 sebulan dan masuk dalam tabung itu.
Kalau kita buat selama enam bulan jumlahnya akan menjadi hampir RM6 bilion. Kutipan melalui tabung derma bukan tindakan yang hina, ia digunakan hampir kesemua orang di dunia ini untuk mengumpul dana.
Bayangkan berapa ramai keluarga miskin yang kita dapat selamatkan dengan dana sebanyak itu. Kalau ia berjaya, maka Malaysia akan menjadi antara negara yang maju dan bebas daripada rakyat miskin.
Alangkah indahnya kalau hasrat itu menjadi kenyataan dengan syarat orang yang mengendalikan tabung itu mestilah jujur, amanah dan boleh dipercayai.
Mengikut statistik, secara keseluruhan sebanyak 1,793 ketua isi rumah miskin tegar direkodkan di seluruh negara dengan diketuai Kuala Lumpur, diikuti Kedah, Johor, Selangor dan Terengganu.
Wang itu bukan setakat boleh digunakan bagi mengubah nasib orang miskin, malah kita boleh agihkan pula kepada usahawan berpotensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Sekiranya kita bekerjasama dan menyayangi satu sama lain, tidak mustahil hasrat itu dapat direalisasikan atas dasar kemanusiaan.
Itulah kalau yang saya impikan. Bak kata pepatah, kalau kita tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua kerana beramal dengan salah satu kebaikan merupakan selemah-lemah perkara ditimpakan kepada seseorang.
Dah sekarang bangun, balik ke alam realiti dan buat kerja macam biasa. Kita tetap kita. Jangan berangan untuk mendapat wang mudah. Sememangnya berangan itu percuma.














