PETALING JAYA – Tindakan seorang pempengaruh menjual piza sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahannya mendapat kecaman ramai.
Menerusi beberapa perkongsian di aplikasi Thread, beberapa penduduk turut sepakat untuk membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.
Selain itu, ada yang menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melakukan pemeriksaan ke atas tempat menyediakan piza dan juga pekerja.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial itu turut mengecam tindakan pempengaruh tersebut yang dikatakan tidak bertimbang rasa dengan penduduk setempat.
“Kalau nak berniaga, pandang sikit jiran kiri kanan. Kalau dah sampai menyusahkan orang, lebih baik fikir cara lain,” kata Zack.
“Dah banyak kali buat report (laporan) tapi sayangnya tak ada sebarang tindakan. Pihak pengurusan, jiran-jiran dah laporkan,” ujar Mad.
“Jom semua laporkan, tak boleh biarkan. Peniaga-peniaga kecil lain kena mohon macam-macam nak berniaga,” kata Illa. – KOSMO! ONLINE