SELARI dengan usianya yang masih muda, pelantun lagu Nurcinta iaitu Amir Masdi mengakui sentiasa membawa ‘sekumpulan askar’ gajet bersamanya saat keluar rumah.
Disimpan rapi dalam sebuah beg, pemilik nama lengkap Amir Syazwan Masdi, 28, akan membawa pelbagai gajet untuk dijadikan peneman saat bersendirian.
Antara barangan yang dibawa ialah fon kepala, fon telinga (AirPods) dan konsol permainan video ROG Ally. Sebagai seorang penyanyi, Amir Masdi kerap menggunakan fon kepala untuk mendengar lagu dengan selesa.
“Saya memiliki sebuah beg khas yang di dalamnya hanya ada gajet yang selalu dibawa. Saya letakkan semua dalam satu beg biar mudah untuk dibawa dan tidak bimbang jika tertinggal.
“Selalunya saya menggunakan fon kepala ketika ingin mendengar muzik atau lagu dengan lebih teliti. Sebagai penyanyi sudah tentulah saya perlu peka dengan melodi dan ritma lagu itu. Jadi, kalau guna fon telinga lebih puas hati sebab dengar lebih jelas.
“Selain itu, fon telinga pula saya gunakan untuk aktiviti santai seperti berehat sambil mendengar muzik atau bermain permainan video. Saiz yang lebih kecil itu memberikan keselesaan dan tidak berasa terganggu di kepala,” katanya kepada K-Tekno.

Ujar pelakon filem Bas Terakhir Malam Raya itu lagi, fon telinga turut digunakan sewaktu melakukan aktiviti fizikal seperti joging atau berjalan (brisk walk).
“Mendengar muzik ketika melakukan aktiviti fizikal ibarat pembakar tenaga dan membuatkan kita seperti berada dalam dunia sendiri. Saya lebih suka guna fon telinga kerana lebih mudah untuk bergerak lebih-lebih lagi melibatkan pergerakan fizikal.
“Tambahan pula, fon telinga ini kelihatan lebih santai dan mudah untuk dibawa ketika joging atau berjalan selain tidak mudah tertanggal jika melakukan gerakan fizikal,” katanya.
Bagi konsol permainan video ROG Ally, Amir Masdi memberitahu, sejak di bangku sekolah rendah sudah menjadi kebiasaan dia menghabiskan masa dengan teknologi digital itu.
Disebabkan itu, biarpun usianya hampir mencecah 30 tahun, Amir Masdi tetap meneruskan minatnya bermain permainan video sekiranya ada kesempatan, tidak kira di mana sahaja berada.
“Sejak kecil saya memang suka bermain permainan video. Bermula dengan PlayStation 1 sebelum beralih kepada PlayStation 2. Kemudian saya menggunakan PlayStation 4 dan PlayStation 5. Biarpun memiliki banyak koleksi, tetapi konsol PlayStation 1 dan PlayStation 2 tidak ada lagi dalam simpanan saya.
“Dahulu kita selalu bermain permainan video menggunakan alat permainan video yang perlu disambungkan dengan televisyen di rumah. Tetapi pada masa kini, permainan video boleh dimainkan di mana saja tanpa perlu disambungkan di televisyen.
“Oleh itu, dengan kecanggihan teknologi pada masa kini membolehkan saya bermain permainan video di mana saja sama ada pada masa lapang atau ketika menunggu giliran untuk menyanyi. Kalau keluar rumah ada masa senggang pun saya akan bermain permainan video ini,” ujarnya.
Biarpun sudah memiliki beberapa gajet pada ketika ini, namun Amir Masdi tetap menyimpan hasrat untuk menambahkan koleksi peranti digital miliknya seperti iPad dan jam tangan pintar (running watch).














