SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian berkaitan sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang bakal diselaraskan mulai Januari tahun depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil kira seluruh aspek berhubung perkara itu termasuk semua jenis ujian kelayakan bagi memasuki kedua-dua institusi berkenaan.
“Kita memang ambil perhatian penuh kepada semua, termasuk semua jenis ujian kelayakan dan sebagainya untuk kemasukan (institusi) itu.
“Insya Allah, perkara itu sedang diselaraskan jadi, tidak ada masalah dalam konteks itu,” ujarnya ringkas selepas ditemui pada Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di bawah Institusi Pendidikan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ingin pengambilan bagi kemasukan ke MRSM dan SBP diselaraskan.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemohon masih boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan tersebut, namun selepas ini mereka hanya akan menerima satu tawaran sahaja bagi mengelakkan pertindihan. -KOSMO! ONLINE