PETALING JAYA – Segelintir ibu bapa melahirkan rasa bimbang apabila sindiket scammer semakin berani termasuk menyusup masuk ke kumpulan WhatsApp sekolah semata-mata untuk mencari mangsa.
Taktik licik itu dikesan apabila ada antara ahli dalam kumpulan sembang itu cuba menyebarkan pautan ke laman sesawang yang tidak ada kaitan langsung dengan hal sekolah.
Antara pautan palsu yang dikongsi sindiket ini adalah berkenaan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, bantuan e-Wallet, bantuan khas untuk pelajar, belia dan mahasiswa.
Seorang ibu dikenali sebagai Nora, 44, berkata, dia dan beberapa ibu bapa lain mula mengesan kehadiran scammer dalam kumpulan WhatsApp sekolah sejak penghujung tahun lalu.
Katanya, scammer tersebut telah berkongsi beberapa pautan yang tidak ada kena mengena dengan kelas anak mahupun sekolah tersebut.
“Terkejut juga sebab macam mana scammer boleh menyusup masuk dalam ‘group’ WhatsApp sekolah. Selalunya cikgu kelas yang akan ‘add’ ibu bapa dalam kumpulan itu.
“Pernah juga ada ibu bapa cuba membuka pautan itu dan kemudian ada nombor tidak dikenali terus telefon. Nasib baik mereka cepat sedar dan scammer tersebut tidak sempat memperdaya mangsa,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Nora berkata, perbuatan scammer tersebut sepatutnya dihentikan segera kerana ada dalam kalangan ibu bapa yang tidak tahu bahawa perkongsian pautan kononnya sebagai satu bentuk sumbangan dan bantuan rupa-rupanya perangkap penipuan.
“Kadang-kadang ada ibu bapa yang mudah terperdaya dengan pautan-pautan tersebut, lebih-lebih lagi mereka yang memang memerlukan bantuan.
“Saya harap ‘admin’ kumpulan WhatsApp dapat bertindak segera sekiranya terdapat pautan-pautan yang tidak berkaitan dalam ‘group’.
“Kalau perlu ‘block’ semua nombor yang tidak dikenali dalam kumpulan WhatsApp sekolah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi ibu dikenali sebagai Mia, 48, mendakwa, selain berkongsi pautan mengenai bantuan dan sumbangan palsu, ada juga scammer yang turut menawarkan pautan berbentuk pelaburan.
“Sekarang ini macam-macam cara scammer cuba untuk menipu mangsa termasuklah dalam kalangan ibu bapa.
“Sampai satu tahap, kumpulan WhatsApp sekolah anak dipenuhi dengan pelbagai perkongsian pautan daripada individu tidak dikenali. Ada juga ibu bapa yang menegur, tetapi mereka (scammer) memang tidak layan.
“Akhirnya, pihak ‘admin’ memutuskan untuk ‘remove’ individu tersebut. Namun, tidak sampai dua hari, ada lagi nombor pelik yang masuk dalam kumpulan WhatsApp dan berkongsi perkara sama,” jelasnya.
Menurut beliau, situasi ini bukan sahaja membahayakan ibu bapa, tetapi juga menunjukkan betapa mudahnya sistem komunikasi diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Setakat ini tidak ada lagi ibu bapa yang menjadi mangsa kerana masing-masing telah diingatkan agar tidak melayan sebarang bentuk pautan melainkan daripada individu yang dikenali,” katanya.














