PARIT BUNTAR – Seorang awak-awak warga Kemboja maut dalam keadaan tragis dipercayai terkena libasan tali papan besi pukat tunda ketika menangkap ikan kira-kira 42.5 kilometer dari barat Kuala Kurau di sini semalam.
Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Hairil Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot pada pukul 4.15 petang yang memaklumkan tentang kejadian menimpa kru warga asing tersebut.
Katanya, mangsa rebah secara tiba-tiba ketika menarik pukat bersama rakan sekerja sebelum disahkan meninggal dunia.
“Sebuah aset APMM digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan segera. Pusat operasi turut menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Sebaik pasukan penyelamat tiba, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM yang menjalankan pemeriksaan lanjut di atas bot. Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE