fbpx

MSN atur pertemuan dengan Olahraga Malaysia isu boikot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin bersedia atur pertemuan dengan Olahraga Malaysia dan sekumpulan atlet pecut.

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan pertemuan segera bersama Olahraga Malaysia berikutan kemelut sekumpulan atlet olahraga kebangsaan yang dikatakan memboikot sesi latihan bersama pengarah teknikal, Robert Ballard sejak sebulan lalu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sudah sedia maklum mengenai masalah yang melanda kem olahraga selepas mengadakan pertemuan bersama badan induk tersebut yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim pada dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Jefri berkata, pihaknya mahu mengenalpasti terlebih dahulu punca sebenar hingga mencetuskan masalah tersebut.

“Kita perlu fahami apa sebab mereka bertindak sedemikian. Saya rasa perkara ini apabila kita duduk dengan mereka (atlet) dan juga persatuan, kita akan dapat maklumat lebih jelas kenapa tindakan mogok dan kenapa mereka tidak dapat menerima latihan yang disediakan daripada Robert Ballard.

“Jadi kalau kita duduk semeja secara terbuka, saya rasa boleh dapat selesaikan segera. Kita akan jumpa dengan mereka dalam masa terdekat selewatnya minggu depan,” katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan dengan media di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Semalam, media melaporkan Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan, pemenang rekod kebangsaan 100 meter (m) Zaidatul Husniah Zulkifli dan juara berganda Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal memilih meninggalkan kem olahraga negara.

Dalam laporan tersebut, Khairul Hafiz mendakwa cara pengurusan Ballard turut menjadi perbalahan apabila selepas hampir dua tahun beliau bergelar pengarah teknikal, langsung tiada program direncanakan yang sepatutnya menjadi tugasnya.

Mengulas mengenai kedudukan Ballard, Jefri menegaskan, kontrak jurulatih dari Australia itu akan tamat pada bulan Jun dan MSN akan membuat penilaian seperti yang dilakukan ke atas semua jurulatih di bawah program MSN.

“Kontrak Ballard adalah di bawah pengurusan Olahraga Malaysia walaupun pembiayaannya datang daripada MSN.

“Sekiranya Olahraga Malaysia mahu melanjutkan kontrak beliau, mereka akan merujuk semula kepada MSN untuk rundingan dan kita akan membuat semakan semula.

“Ini adalah prosedur biasa yang kita lakukan untuk semua jurulatih dalam mana-mana sukan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN