KUALA TERENGGANU – Koperasi berteraskan pelancongan di seluruh negara disaran memanfaatkan program Jom Jelajah Koperasi (Jejak) yang bertujuan membantu mereka membuat persediaan sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Rusli Jaafar berkata, program Jejak tersebut telah menyediakan dana keseluruhan RM2 juta bagi membantu koperasi terlibat menarik pelancong menginap di bilik resort dan inap desa diusahakan mereka.
“Kita menyasarkan 160 koperasi berteraskan pelancongan menerima manfaat daripada peruntukan disediakan menerusi program Jejak ini.
“Setakat ini, di Terengganu sahaja, 22 koperasi terlibat sudah diluluskan permohonan mereka melibatkan kelulusan RM198,000,” katanya pada majlis Tautan Mahabbah Koperasi Terengganu, di sini hari ini.
Rusli berkata, program Jejak membolehkan setiap koperasi berteraskan pelancongan tempatan layak memohon insentif RM12,500 sehingga hujung tahun ini.
Beliau berkata, insentif itu merangkumi RM2,500 bagi tujuan promosi manakala selebihnya galakan jualan.
“Insentif itu membolehkan koperasi terlibat menawarkan bilik penginapan diusahakan mereka pada harga diskaun sehingga 20 peratus sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
“Ia bertujuan menjadikan resort dan inap desa koperasi tersebut antara pilihan utama pelancong sewaktu penganjuran TMM 2026 kelak,” katanya.
Rusli berkata, SKM percaya insentif program Jejak ini dapat memberi kesan pengganda bagi merangsang semula perniagaan koperasi berteraskan pelancongan berkenaan. – KOSMO! ONLINE