Setiap kali menjelangnya Aidilfitri, sudah tentunya ia sesuatu yang sangat meriah. Bukan sahaja boleh melaram dengan baju raya, malah makanan yang disajikan.
Bagaikan lirik lagu raya ‘setahun hanya sekali’ sudah tentu lemang, ketupat, rendang dan kuih raya menjadi pilihan.
Bagi sesetengah individu, inilah peluang untuk membalas dendam untuk menikmati segala makanan sepuasnya. Tapi tahukah kita dengan makan apa saja atau kata lain ‘balas dendam’ itu ia akan memudaratkan kesihatan?
Mengulas mengenai perkara ini, Pakar Pemakanan (dietitian), Farah Farhanah Hashim berkata, tidak salah untuk menikmati segala makanan pada musim Adilfitri, namun ia perlu berpada-pada.
“Banyakkan minum air masak, jangan segan minta air masak daripada tuan rumah. Bagi tuan rumah, jika buat rumah terbuka, pastikan sediakan sekali air masak untuk tetamu. Selitkan juga buah-buahan kerana makanan raya seperti rendang, lemang, kuih-muih tinggi kalori dan lemak, kurang serat daripada sayur-sayuran,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan akan berlaku kenaikan berat badan mendadak pada musim perayaan, namun itu bukan alasan kerana setiap individu boleh mengawal selera makan.
“Nasihat saya makanlah berpada-pada dan berhenti sebelum kenyang. Raikan juadah raya secara tidak berlebihan. Kalau boleh terus amalkan mengambil makanan ‘suku-suku separuh’ tapi pada masa sama dapat menikmati juadah raya,” katanya.
Sebelum ini media pernah melaporkan terlebih makan khususnya sepanjang tempoh perayaan akan menyebabkan berat badan seseorang naik secara mendadak, selain mendedahkan mereka kepada risiko penyakit lain.
Menurut pakar sebuah pusat perubatan, tidak mustahil jika berat badan seseorang individu naik tiga kilogram dalam tempoh sebulan jika mereka menghadiri banyak aktiviti sosial seperti rumah terbuka.
Ini kerana, mereka akan mengambil banyak sajian utama atau makanan berat termasuk pelbagai kudapan serta minuman manis.
Mengulas lanjut, pakar itu menjelaskan, bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi serta penyakit buah pinggang kronik, mereka perlu mengawal pengambilan makanan serta menjaga gaya hidup semasa musim perayaan.
Sementara itu, dalam satu perkongsian seorang doktor yang juga pakar pemakanan, beliau merumuskan setiap perayaan orang ramai lebih cenderung untuk makan makanan yang tinggi kalori.
Dengan selera yang bertambah, makanan yang tinggi kalori tersedia di atas meja dan tiada pergerakan fizikal, menyebabkan berat badan mereka mudah bertambah.
Ujar beliau, bagi mereka yang masih muda dan sihat, perubahan yang mungkin kelihatan adalah peningkatan berat badan, namun sebenarnya proses menjadikan mereka berpenyakit metabolic sedang bermula tanpa disedari.
Oleh kerana kebanyakan juadah raya berasaskan karbohidrat ringkas seperti lemang, nasi impit, ketupat dan lontong, pengambilan juadah ini tidak digalakkan diambil secara berlebihan.
Pendek kata menjamu selera sebanyak mana boleh, namun perlu berpada-pada. Jangan sampai tahap kesihatan yang dicapai selama sebulan berpuasa digadaikan begitu sahaja.
Ingat! badan kita dan kesihatan kita hanya satu dan ia milik kita.














