JOHOR BAHRU – Pemandu kenderaan BMW yang merempuh seorang penghantar makanan di Taman Desa Jaya, di sini awal pagi semalam mempunyai 22 rekod melibatkan pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemandu berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.
“Semakan terhadap pemandu tersebut mendapati dia mempunyai 22 saman trafik atas pelbagai kesalahan.
“Antaranya termasuklah nombor pendaftaran fancy, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tidak mempamerkan pelekat P serta mengubah suai struktur kenderaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, suspek masih dalam tahanan reman sehingga Rabu depan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, suspek ditahan selepas memandu mabuk sehingga merempuh seorang pejalan kaki di lokasi kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal warga asing kira-kira pukul 2 pagi.
Dalam kejadian itu, penghantar makanan, Mohd Taufik Ariff, 37, maut di tempat kejadian dirempuh BMW ketika membantu seorang penunggang motosikal warga Myanmar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya, di sini.-KOSMO! ONLINE