fbpx
Empat angkasawan kini mengelilingi Bulan setelah memulakan misi sejak 1 April lalu yang merupakan peristiwa bersejarah kembalinya manusia ke Bulan selepas lebih 50 tahun dirintis Neil Armstrong.

Manusia kembali ke Bulan selepas setengah abad, apa beza misi terdahulu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELANCARAN misi Artemis II oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada 1 April lalu menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah penerokaan angkasa lepas oleh manusia.

Misi itu bukan sekadar penerbangan kapal angkasa biasa, sebaliknya langkah penting untuk pendaratan manusia sekali lagi di Bulan, serta perancangan menghantar manusia pertama ke planet Marikh pada masa hadapan.

Pelancaran Artemis II turut mengimbau kembali sejarah manusia mendarat di Bulan sejak tahun 1969 melalui program Apollo.

Menurut Ketua Sains Artemis, Dr. Lori Glaze, misi pertama Artemis II itu dilancarkan bagi membawa angkasawan mengelilingi Bulan tanpa mendarat.

“Misi ini berlangsung selama kira-kira 10 hari dengan menggunakan kapal angkasa Orion yang dilancarkan dengan roket Space Launch System (SLS) di Florida, Amerika Syarikat (AS).

“Empat angkasawan akan menyertai misi ini termasuk tiga dari AS dan seorang dari Kanada.

“Misi ini merupakan perjalanan manusia pertama meninggalkan orbit Bumi dengan menuju ke Bulan selepas lebih 50 tahun sejak era Apollo,” katanya dalam temu bual bersama BBC News.

Angkasawan yang menyertai misi itu terdiri daripada Reid Wiseman sebagai komander, Victor Glover (juruterbang), serta Christina Koch dan Jeremy Hansen (pakar misi).

Misi tersebut turut menyaksikan Koch menjadi wanita pertama yang mengelilingi Bulan.

Sementara itu, Glover menjadi angkasawan kulit hitam pertama menyertai misi ke Bulan, sekali gus mencerminkan kepelbagaian generasi baharu dalam penerokaan angkasa.

Tambah Glaze, dalam misi itu, kapal angkasa Orion akan mengelilingi Bulan dan kembali ke Bumi menggunakan graviti Bulan sebagai slingshot perjalanan pulang.

Tujuan misi itu adalah menguji sistem sokongan hayat, komunikasi, navigasi serta perlindungan haba kapal angkasa sebelum misi pendaratan di Bulan pada masa depan.

KOCH (kanan) akan menjadi wanita pertama yang berjaya mengelilingi Bulan.

Sepanjang misi itu juga, angkasawan akan melalui fasa meninggalkan orbit Bumi, perjalanan ke Bulan, mengelilingi Bulan pada jarak beberapa ribu kilometer dan kembali semula ke Bumi dengan kelajuan sangat tinggi sebelum pendaratan di Lautan Pasifik.

Sementara itu, Artemis II dianggap sebagai latihan penting sebelum misi Artemis III yang dijangka membawa manusia mendarat di Bulan.

SAlah satu aspek penting Artemis II adalah pengujian sistem sokongan hayat untuk kru seperti bekalan oksigen, kawalan suhu, pengurusan air dan penyingkiran karbon dioksida.

Ini merupakan kali pertama semua sistem sokongan hayat diuji dalam keadaan sebenar di angkasa lepas.

Selain itu, misi itu akan menguji keupayaan komunikasi jarak jauh antara kapal angkasa dan Bumi, termasuk penghantaran data, video resolusi tinggi dan telemetri secara masa nyata.

Artemis II turut menekankan aspek keselamatan melalui ujian perisai haba (heat shield) Orion yang direka untuk menahan suhu melebihi 2,700 darjah Celsius semasa kemasukan semula ke atmosfera Bumi.

Kelajuan kemasukan semula ke Bumi itu adalah lebih tinggi berbanding misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa, sekali gus menjadikan misi tersebut sangat kritikal.

Ketika misi itu juga, kru Artemis II akan menjalankan pelbagai demonstrasi operasi termasuk navigasi manual, kawalan kapal angkasa secara langsung serta latihan kecemasan.

Imej yang menunjukkan Armstrong mendarat di permukaan Bulan pada tahun 1969.

Kru juga perlu mengambil imej resolusi tinggi Bumi dan Bulan dari ruang angkasa serta menjalankan eksperimen saintifik ringan berkaitan radiasi angkasa serta kesan persekitaran angkasa terhadap tubuh manusia.

Menurut Glaze, kepentingan Artemis II bukan sahaja dari sudut teknologi, malah simbolik kepada dunia bahawa era penerokaan Bulan kini kembali aktif.

“Misi ini dijangka memecahkan rekod jarak perjalanan manusia di angkasa, sekali gus mengatasi rekod yang dicapai semasa misi Apollo.

“Selain itu, misi ini juga menyaksikan penyertaan wanita pertama yang mengelilingi Bulan. Ini menunjukkan peranan wanita dalam bidang angkasa lepas semakin bertambah,” ujarnya.

Semasa misi Apollo sebelum ini, manusia telah berjaya mendarat dan berjalan di permukaan Bulan antara 1969 hingga 1972.

Namun selepas itu, tiada lagi misi ke Bulan selama beberapa dekad sehingga lahirnya program Artemis pada abad ke-21.

Untuk memahami kepentingan Artemis II, kita perlu mengetahui sejarah manusia mendarat di Bulan dengan program Apollo oleh NASA pada era 1960-an.

Menurut perkongsian NASA di laman webnya, program Apollo merupakan projek besar AS untuk menghantar manusia ke Bulan semasa era perlumbaan angkasa dengan Kesatuan Soviet.

“Kemuncak program ini adalah misi Apollo 11 pada tahun 1969 yang menyaksikan manusia pertama berjaya menjejakkan kaki di Bulan.

“Pada 20 Julai 1969, angkasawan Neil Armstrong menjadi manusia pertama berjalan di permukaan Bulan, diikuti oleh Buzz Aldrin, manakala Michael Collins pula berjaya mengorbit Bulan di dalam modul arahan,” kongsinya.

Kata-kata terkenal Armstrong, ‘That’s one small step for man, one giant leap for mankind’ kekal menjadi simbol pencapaian terbesar manusia dalam bidang penerokaan angkasa lepas.

Misi Apollo 11 telah membuka era baharu dalam sains, teknologi dan penerokaan angkasa. Selepas Apollo 11, beberapa lagi misi Apollo berjaya mendarat di Bulan termasuk Apollo 12, Apollo 14, Apollo 15, Apollo 16 dan Apollo 17.

Secara keseluruhan, enam misi Apollo berjaya mendarat di Bulan dan seramai 12 angkasawan pernah berjalan di permukaannya antara tahun 1969 hingga 1972.

Selepas itu, program Apollo ditamatkan kerana kos yang tinggi dan perubahan keutamaan program angkasa.

“Sejak tahun 1972, tiada lagi manusia berjaya kembali ke Bulan sehingga program Artemis diperkenalkan oleh NASA pada abad ke-21.

“Program Artemis bertujuan menghantar manusia kembali ke Bulan, membina pangkalan di sana dan menggunakan Bulan sebagai pangkalan persediaan untuk misi ke Marikh nanti,” tambah NASA.

Artemis I telah dilancarkan pada tahun 2022 tanpa kru sebagai ujian kapal angkasa Orion.

Manakala Artemis II dilancarkan pada tahun 2026 sebagai misi pertama dengan kru dalam program tersebut.

Apa yang membezakan program Artemis dengan Apollo adalah dari aspek pendekatan.

Jika Apollo hanya menumpukan kepada pendaratan di Bulan sebagai pencapaian simbolik, Artemis pula bertujuan memastikan kehadiran manusia secara berterusan di Bulan.

NASA merancang untuk membina stesen angkasa di orbit Bulan dikenali sebagai Lunar Gateway serta pangkalan di permukaan Bulan, khususnya di kawasan kutub selatan yang dipercayai mempunyai sumber air beku.

Pelancaran Artemis II menunjukkan bahawa dunia kini memasuki era baharu dalam penerokaan angkasa yang lebih global dan kolaboratif.

Jika dahulu program Apollo hanya melibatkan AS, namun program Artemis merangkumi pelbagai negara termasuk Kanada, Eropah dan Jepun.

Ini menunjukkan bahawa penerokaan angkasa menjadi salah satu usaha antarabangsa, bukan lagi perlumbaan antara negara seperti era Perang Dingin.

Kata pakar misi, Hansen, pelancaran Artemis II bukan sekadar usaha mengelilingi Bulan, sebaliknya satu langkah penting dalam sejarah penerokaan angkasa.

“Misi ini menghubungkan sejarah kejayaan Apollo yang membawa manusia ke Bulan dengan masa depan penerokaan angkasa lebih besar, termasuk pembinaan pangkalan di Bulan dan perjalanan manusia ke Marikh.

“Selepas lebih 50 tahun manusia terakhir berjalan di Bulan, kini masyarakat dunia sekali lagi akan menyaksikan momen bersejarah dalam bidang angkasa lepas melalui program Artemis.

“Ini menandakan bahawa penerokaan angkasa masih menjadi salah satu impian terbesar manusia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN