KEMAMAN – Tindakan pelik seorang buruh ladang kelapa sawit memberikan nombor pin kad bank kepada adiknya menjadi petanda ajal apabila dia maut dipercayai ditanduk kerbau peliharaan di Kampung Tebak, di sini, pada Khamis lalu.
Mayat Md. Fandi Mohamad, 43, ditemui penduduk kampung dengan kesan kecederaan di bahagian dada dan paha pada pukul 3 petang, kelmarin.
Adik mangsa, Noramidah, 40, berkata, mereka lapan beradik terperanjat apabila arwah abangnya, Md. Fandi tiba-tiba memaklumkan nombor pin kad akaun banknya baru-baru ini.
“Arwah pesan kalau apa-apa jadi dengannya (meninggal dunia), keluarkan semua wang simpanannya yang terdapat di dalam akaun bank itu.
“Waktu itu kami pelik dengan perangainya dan menganggap dia mungkin bergurau. Rupa-rupanya itu pesanan terakhir abang,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Noramidah berkata, arwah Md. Fandi juga bagaikan mengetahui ajalnya apabila turut menamakan salah seorang adik lelaki mereka sebagai pewaris simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerjaan (KWSP) miliknya baru-baru ini.
Katanya, arwah Md. Fandi yang masih bujang menetap bersama tiga beradik lain termasuk dirinya setelah mereka kehilangan arwah ibu kira-kira dua tahun lalu.
Mengimbas kejadian, katanya, mereka risau apabila Md Fandi tidak pulang setelah keluar rumah mengambil seekor kerbau peliharaan untuk dijual pada pukul 8 pagi, Khamis lalu.
“Selain bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran, arwah abang membela lima ekor kerbau sebagai pendapatan sampingan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Noramidah berkata, dia dan adik lelaki kemudian cuba mencari Md. Fandi di sekitar kampung tetapi gagal sebelum mayatnya dijumpai penduduk kampung.
Dia berkata, berdasarkan kecederaan dialami, mereka percaya abangnya maut akibat diserang dan ditanduk kerbau yang mahu dijualnya.
“Tali mengikat kerbau itu mungkin terlucut sebelum jadi agresif. Setakat ini kerbau yang menyerang arwah abang masih belum dijumpai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli yang dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut.
















