Ikan ini boleh ditemui di jaluran lautan tropika dan subtropika di seluruh dunia. Ia hidup dalam kumpulan besar di peringkat kecil dan kumpulannya akan mengecil apabila meningkat remaja, sebelum bergerak secara solo apabila menjadi matang.
Mengapa ia bersendirian apabila sudah besar?
Ini kerana, ikan ini tidak mengenal mangsa, malah ia akan membaham spesiesnya sendiri apabila ada saiz yang lebih kecil.
Kawanannya dianggap sebagai musuh dan pesaing dalam proses ia mendapatkan makanan.
Ini terbukti kerana ketika saya menurunkan umpan alu-alu bersaiz kecil, spesiesnya yang lebih kasar pula yang membaham.
Sifatnya amat ganas, namun cukup berhati-hati sebelum membaham mangsa.
Ikan ini akan mengelilingi
umpan terlebih dahulu dan membuat kajian mengenai arah mana serangan bakal dilakukan.
Setelah memastikan keadaan selamat, maka ia akan membuat pecutan dan serangan dengan pantas.
Senjata utama
Senjata utamanya adalah dua lapis barisan gigi di kiri dan kanan mulutnya. Lapisan pertama gigi kecil bersusun bak mata gergaji, manakala lapisan kedua terdiri daripada beberapa batang gigi kasar dan tajam.
Empat batang gigi berkembar di bahagian hadapan atas rahang iaitu dua di kiri dan dua di kanan dengan sebatang gigi tunggal di hadapan menjadi sandaran utama kepada kekuatan alu-alu untuk membenamkan giginya ke badan mangsa.
Dengan barisan gigi inilah, badan ikan yang menjadi mangsanya begitu mudah diputuskan.
Apa lagi kalau tali perambut yang anda gunakan itu tali mono tanpa sambungan kabel, maka jawapannya anda akan berputih mata.
Bijak mencuri umpan
Sepanjang pengalaman saya dalam
dunia pancingan, acap kali melihat ikan ini begitu bijak mencuri umpan.
Maka, hasilnya hanya umpan di bahagian yang bermata kail yang ditinggalkan.
Malah, saya pernah melihat seekor ikan pisang dibaham dan hanya bahagian kepalanya yang tinggal akibat dibaham alu-alu bersaiz kasar.
Saya pernah terpedaya dengan kecekapan alu-alu mencuri umpan seekor ikan tongkol dengan dua mata kail.
Hanya tinggal bahagian kepala yang tertancap mata kailnya sahaja akibat kealpaan saya tidak menyulam kabel ke dalam umpan tersebut.














