PENCURIAN data merupakan isu yang masih berlarutan dan menjadi kebimbangan bukan sahaja di dalam negara, malah peringkat antarabangsa.
Antara medium pencurian data paling terdekat dengan manusia adalah telefon pintar yang menyumbang kepada peningkatan serangan perisian hasad mudah alih terutama terhadap data perbankan.
Pakar keselamatan di syarikat keselamatan siber global, Kaspersky, Anton Kivva berkata, bilangan serangan Trojan perbankan ke atas telefon pintar meningkat sebanyak 196 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
“Rekod ini menjadi intipati dalam laporan Kaspersky bertajuk, Landskap Ancaman Perisian Hasad Mudah Alih 2024 yang diterbitkan semasa Mobile World Congress 2025 di Barcelona, Sepanyol.
“Penjenayah siber kini mengubah taktik mereka dengan bergantung kepada penyebaran perisian hasad secara besar-besaran untuk mencuri maklumat perbankan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, pihaknya telah mengesan lebih daripada 33.3 juta serangan terhadap pengguna telefon pintar di seluruh dunia yang melibatkan pelbagai jenis perisian hasad dan perisian yang tidak diingini.
Katanya lagi, bilangan serangan Trojan perbankan pada telefon pintar Android meningkat daripada 420,000 pada tahun 2023 kepada 1,242,000 pada tahun 2024.
Trojan perbankan direka untuk mencuri maklumat log masuk pengguna bagi perkhidmatan perbankan dalam talian, pembayaran elektronik dan sistem kad kredit.
“Antara modus operandi serangan siber adalah penjenayah siber memperdaya mangsa untuk memuat turun Trojan perbankan melalui pautan yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi pemesejan, lampiran berbahaya dalam mesej dan laman web palsu yang mengarahkan pengguna ke perisian hasad.
“Mereka juga boleh menghantar mesej dari akaun kontak yang telah digodam, menjadikan penipuan kelihatan lebih meyakinkan,” ujarnya.

Selain itu, taktik popular mereka adalah mengeksploitasi berita semasa atau isu yang sedang hangat untuk mewujudkan rasa panik dan mengurangkan kewaspadaan mangsa.
Kongsinya lagi, scammer kini mengurangkan usaha mereka dalam mencipta perisian hasad baharu dan lebih menumpukan kepada penyebaran fail yang sama kepada sebanyak mungkin mangsa.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk mempunyai literasi siber dan mendidik orang tersayang seawal usia kanak-kanak hingga warga emas kerana tiada siapa yang benar-benar selamat daripada penipuan yang direka dengan teliti untuk mencuri data perbankan.
“Walaupun Trojan perbankan berkembang paling pesat, ia hanya berada di tempat keempat dalam kategori serangan siber dengan kadar serangan enam peratus dan jenis ancaman lain yang lebih meluas adalah AdWare dengan 57 peratus, Trojan Am 25 peratus dan RiskTools 12 peratus.
“Pada tahun 2024, penjenayah siber melancarkan purata 2.8 juta serangan perisian hasad, AdWare dan perisian tidak diingini ke atas peranti mudah alih setiap bulan. Secara keseluruhan, Kaspersky berjaya menyekat 33.3 juta serangan sepanjang tahun,” ujarnya.
Jelasnya lagi, antara ancaman terbesar pada tahun 2024 ialah Fakemoney iaitu kumpulan aplikasi palsu yang menjanjikan pelaburan dan bayaran pulangan palsu.
Seterusnya adalah versi WhatsApp yang diubah suai di mana aplikasi WhatsApp tidak rasmi yang mengandungi Trojan jenis Triada yang boleh memuat turun dan menjalankan modul perisian hasad tambahan untuk memaparkan iklan atau melaksanakan aktiviti tidak diingini.
Aplikasi WhatsApp palsu ini adalah ancaman ketiga paling aktif selepas kategori umum ancaman berasaskan awan.















