KEGILAAN tentang piring terbang atau UFO mula mendapat perhatian masyarakat dunia sejak 1947. Ia selepas seorang juruterbang persendirian, Kenneth Arnold mendakwa melihat sembilan objek berbentuk bulan sabit bergerak pantas berhampiran Gunung Rainier, Washington, Amerika Syarikat (AS).
Sejak itu, kumpulan pengkaji dan para ilmuan mula menjalankan pelbagai kajian untuk mendapatkan jawapan tentang kesahihan kewujudan UFO.
Terbaharu, pemain liga bola sepak AS, Malachi Corley mendakwa telah melihat UFO di langit Florida baru-baru ini, meskipun tidak mendapat sebarang bukti sahih.
Dalam satu catatan di X, dia berkata, objek tersebut terapung di langit selama 30 minit dan kelihatan mengeluarkan cahaya kebiruan.
“Apa sahaja yang kalian mahu. UFO itu secara sah berada di langit selama lebih 30 minit. Saya sendiri menyaksikannya.
“Saya berhenti memerhatikannya selama kira-kira dua minit, sebelum objek itu hilang tanpa kesan,” ujarnya.
Corley turut memuat naik beberapa potongan video yang menunjukkan cahaya kebiruan jelas kelihatan di langit.
Namun, objek piring terbang itu bagaimanapun tidak kelihatan dengan jelas dalam video berkenaan.

– Gambar hiasan
Susulan dakwaan atlet berusia 23 tahun tersebut, ramai pengguna media sosial berbahas tentang kesahihan objek misteri yang mengeluarkan cahaya kebiruan pada waktu malam itu.
Ada yang menyifatkan Corley hanya ingin mendapatkan perhatian, selain ada yang meragui dakwaan tersebut memandangkan ahli sukan berkenaan tidak mempunyai kepakaran secara profesional dalam teknologi sains.
“Zaman sekarang ini pelbagai cara boleh dibuat untuk menjadikan apa yang disangkakan itu benar.
“Mungkin cahaya biru itu datang daripada pesawat atau pantulan cahaya. Bagaimana seseorang boleh mengakui itu UFO sedangkan dia tidak pasti sama ada ia betul atau tidak.
“Semua orang mampu mengatakan apa saja berdasarkan apa yang mereka lihat.
“Bagi saya, selagi tiada bukti sahih, sukar untuk mempercayai perkara yang tidak dilihat di depan mata,” kata seorang pengguna media sosial, John Martin.

Bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan mahupun kenyataan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan Corley itu.
Dalam pada itu, insiden cahaya aneh di langit bukan perkara baharu.
Sebelum ini, pernah muncul cahaya putih berbentuk gasing yang dapat dilihat di langit tiga negara iaitu United Kingdom, Sweden dan Slovenia.
Lingkaran putih itu disedari oleh warga setempat pada 24 Mac lalu, sekali gus mencetuskan tanda tanya dan kekecohan di media sosial.
Menurut pemerhati langit, Ashton Lyne, cahaya putih tersebut kelihatan berputar seketika sebelum menghilang.
“Lingkaran cahaya itu seperti berputar dan bergerak perlahan-lahan sebelum tidak lagi kelihatan.
“Ada yang mengatakan itu adalah UFO, biarpun kita sudah berada di zaman teknologi canggih. Namun, kita masih belum mengetahui sama ada ia benar atau tidak,” katanya.
Sementara itu, syarikat astronautik, SpaceX dalam satu kenyataan rasmi memberitahu, roket SpaceX Falcon 9 bagi misi Pejabat Peninjau Kebangsaan AS (NROL-69) telah dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida pada hari sama lingkaran cahaya putih itu kelihatan.
“Roket tersebut berlepas sekitar pukul 1.45 tengah hari (waktu United Kingdom) dan beberapa jam kemudian lebihan bahan api dibuang ke angkasa.
“Sisa bahan bakar itu kemudian membeku dan menyerap cahaya matahari.
“Kejadian semula jadi itu mengakibatkan lingkaran cahaya menakjubkan yang boleh dilihat hingga ke United Kingdom.
“Fenomena sama sebelum ini berlaku pada 2023 di beberapa bahagian di AS berikutan pelancaran SpaceX lain,” katanya.
Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) turut mengakui, kejadian lingkaran cahaya itu berlaku apabila roket melepaskan sisa bahan api ke atmosfera.
Wap beku memantulkan cahaya matahari dan membentuk heliks bercahaya yang memukau.
“Lingkaran cahaya tersebut bukanlah datang daripada UFO atau misi agen rahsia. Anggap sahaja perkara yang berlaku ini sebagai peringatan bahawa kadangkala kejadian di angkasa mempunyai sebab-sebab tertentu,” kata jurucakap NASA.
















