TREND peningkatan penumpang KTM Komuter Utara sangat menggalakkan apabila jumlah purata penumpang harian melonjak 29 peratus daripada 12,668 kepada 16,363 orang antara 2023 dan 2024.
Ramai memilih menggunakan perkhidmatan tren berikutan lebih mudah serta menjimatkan kos dan masa terutama bagi yang bekerja di luar negeri masing-masing.
Namun begitu, isu kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi yang berterusan di sektor utara mengakibatkan jumlah gangguan perkhidmatan pengangkutan itu meningkat.
Insiden itu menyebabkan tren kerap mengalami kelewatan, sekali gus menyusahkan ribuan penumpang.
Perkara itu didedahkan sendiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini yang menyifatkan isu kecurian tersebut sudah berada pada tahap kritikal.
Menurut beliau, hampir setiap minggu berlaku kelewatan tren disebabkan gangguan perkhidmatan akibat kecurian kabel.
“Memang kita amat menyesali gangguan dihadapi orang ramai, namun mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku, bukan sebab masalah teknikal oleh pihak KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) tetapi isu sabotaj ke atas infrastruktur KTMB,” katanya.
Jumlah kes kecurian kabel itu melonjak 414 peratus iaitu daripada tujuh kes pada suku ketiga 2024 kepada 36 kes pada suku keempat 2024.
Sebanyak 20 hotspot dikenal pasti dengan sektor Sungai Petani-Tasek Gelugor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 35 kes dan sektor Gurun-Sungai Petani (21 kes) pada 2024. Akibatnya, jumlah insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara berpunca daripada kes kecurian kabel meningkat daripada 85 insiden pada Julai 2024 kepada 804 insiden pada Disember 2024.
Ia melibatkan kos pembaikan mencecah RM1.35 juta dengan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi.
Menteri Pengangkutan itu juga menyatakan bahawa peningkatan kes kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi secara mendadak tidak boleh lagi dipandang mudah sebagai isu jenayah kecurian semata-mata.
Ia berikutan sistem semboyan berperanan mengawal pergerakan tren yang membawa ratusan penumpang dan kargo yang nilainya jutaan ringgit secara selamat.
Kecurian kabel sistem semboyan juga bukan sekadar mengganggu perkhidmatan KTM tetapi berpotensi untuk menggugat keselamatan penumpang dan kargo.
Di peringkat KTMB, Polis Bantuan KTMB melaksanakan 132 operasi khas termasuk rondaan 24 jam di kawasan panas seperti Sungai Petani, Gurun, dan Tasek Gelugor.
KTMB juga akan menambah baik rangkaian Axle Counter dan peralatan Axle Counter dengan anggaran kos RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun yang tertumpu di kawasan panas tersebut serta menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk televisyen litar tertutup (CCTV), dron, pagar antipanjat dan memasang penutup manhole dengan mekanisme kunci baharu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis memandang serius isu kecurian kabel dan tindakan awal telah diambil














