fbpx
Keadaan orang ramai menunggu ketibaan bas untuk pulang ke kampung di TBS, Kuala Lumpur semalam.

Penuntut IPT ‘berlumba-lumba’ balik kampung awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebahagian warga kota memilih untuk pulang ke kampung halaman lebih awal sempena Aidilfitri kerana diberi cuti pengajian lebih panjang dan mahu elak terperangkap kesesakan jalan raya.

Tinjauan Kosmo! di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan di sini semalam mendapati rata-rata penuntut institusi pengajian tinggi sudah diberi cuti awal untuk kembali ke kampung halaman.

Seorang pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Muhammad Abid Nabil, 20, melahirkan kete­rujaan untuk pulang ke kampung bagi merai perayaan bersama keluarga lebih awal berbanding warga kota yang lain.

“IPG memberikan cuti selama seminggu, jadi saya memilih untuk pulang hari ini (semalam) lebih awal kerana terlalu teruja dan tidak sabar untuk berjumpa keluarga di Kulai, Johor.
“Saya akan kembali ke IPG pada 2 April nanti,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bangi, Muhammad Anwar Hazim Muhammad Fuzi, 20, berkata dia akan pulang ke Batu Pahat, Johor bagi membantu keluarganya membuat persiapan menjelang hari raya.

“Memang seronok dapat pulang beraya, lebih-lebih lagi kerana dapat bertemu keluarga serta sanak saudara yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Pe­ngurusan Perniagaan.

Pelajar kejuruteraan awam di Politeknik Shah Alam, Rabiah Amalina, 20, berkata, dia teruja untuk pulang beraya di Manjung, Perak, kerana ingin membuat kuih raya bersama ibunya yang menjadi tradisi keluarga saban tahun.

“Teruja nak balik rumah sebab setiap tahun akan buat kuih raya almond london dengan mak saya, jadi tahun ini pun sama,” ujarnya.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mastura, 44, berkata, dia tiba di terminal pukul 8 pagi bersama anaknya dan mahu pulang beraya selama se­minggu ke kampung di Kuantan, Pahang.

Katanya, dia mahu memanfaatkan cuti panjang dengan keluarga selepas empat bulan tidak pulang menziarahi mereka.

SUASANA di Terminal 17, Shah Alam, Selangor, semalam-Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Sementara itu di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, Selangor pula, terminal itu mula sesak dengan penumpang sejak pukul 7 petang untuk pulang ke kampung dengan baki lima hari lagi sebelum perayaan.

Seorang perantau, Muhammad Khairul Basir Alias, 28, berkata, dia pulang awal bagi menyambut Syawal bagi melepaskan kerinduan selepas enam bulan tidak menemui isteri­nya di Machang, Kelantan.

Katanya, ini disebabkan ke­sibukannya dalam menguruskan perniagaan di Lembah Klang.

“Memang tidak sabar pulang ke kampung berjumpa isteri tambahan belum beli sebarang persiapan raya lagi.

“Insya-Allah, akan berada di Machang selama dua minggu bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Bagi operator kilang, Noor Hafizah Zainal, 30, berkata, dia pulang awal ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah ke­rana perlu bekerja semula Khamis depan.

Tambahnya, perkara pertama yang akan dilakukan adalah untuk membeli kelengkapan Aidilfitri di Kompleks Pekan Rabu.

“Tahun ini sambut Aidilfitri secara bersederhana, namun perasaan beraya bersama-sama keluarga itu yang paling penting,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN