fbpx
PENULIS berpeluang menunggang kuda di Kaindy Lakes, Kazakhstan dan membeli sayur segar yang dijual di salah sebuah pasar di situ.

Almaty kota salju penuh kedamaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN lebih tujuh jam dari Kuala Lumpur ke Almaty, Kazakhstan menggunakan pesawat Airbus 330-300 milik AirAsia X seakan tidak terasa penatnya.

Manakan tidak, sejam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty, hampir kesemua penumpang ‘tergamam’ tatkala melihat pemandangan indah gunung ‘diselimuti’ salji di kanan dan kiri pesawat.

Ketika itu, penulis merasakan kunjungan pertama kali ke Almaty bagi merasai pengalaman bercuti pada musim sejuk bakal mencipta memori paling menakjubkan.

Jadi, sebaik menjejakkan kaki di tanah Kazakhstan selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty, seluruh tubuh penulis disapa dengan cuaca dingin yang mencecah -10 darjah Celsius.

Sebenarnya, penulis agak terkejut dengan cuaca sejuk di Almaty. Namun, penulis teruja untuk meneroka kota yang dipenuhi bangunan bercirikan Soviet Union itu.

Pengembaraan penulis di Kazakhstan selama enam hari bermula di ibu kota Almaty dengan melawat beberapa lokasi tumpuan seperti Green Bazar, Ascension Cathedral dan Park of 28 Panfilov Guardsmen.

Apa yang dapat penulis simpulkan, meskipun Almaty dikenali sebagai sebuah kota, namun suasananya lebih tenang dan tidak terlalu sibuk. Kota ini sesuai untuk mereka yang sukakan kedamaian.

Harga barangan di sini juga murah dan mampu milik, seterusnya membuatkan pelancong terutamanya dari Malaysia berasa tidak terlalu terbeban untuk berbelanja.

SUASANA pergunungan yang indah di Almaty.

Memandangkan, Kazakhstan merupakan sebuah negara besar dengan keluasan 2.72 juta kilometer persegi, jarak antara satu destinasi dengan destinasi lain agak jauh.

Selain Almaty, penulis juga berkesempatan berkunjung ke Kolsay Lakes untuk bermalam di sana selama semalam.

Ia bagi melihat keindahan alam semula jadi termasuk tasik yang membeku menjadi ais.

Meskipun jarak antara Almaty dan Kolsay Lakes memakan masa lebih empat jam, namun di sepanjang perjalanan, penulis disajikan dengan pemandangan yang cukup indah.

Ketika itu, kalimah Allahuakbar dan Subhanallah sentiasa meniti di bibir penulis selepas melihat gunung-gunung putih yang dilitupi salji, ia sungguh mempesonakan.

Sebelum tiba di Kolsay Lakes, penulis berkesempatan melawat Charyn Canyon yang merupakan antara kawasan gurun berbukit yang terdapat di Almaty.

Menariknya, semasa di Charyn Canyon, penulis juga berkesempatan menaiki trak antik buatan Russia bagi meneroka kawasan gurun yang rata-rata kawasannya dilitupi salji.

Sebenarnya, tidak banyak aktiviti dapat dilakukan penulis apabila tiba di Kolsay Lakes pada waktu itu berikutan cuaca sejuk dan lokasinya yang berada di kawasan pedalaman.

Namun begitu, pihak hotel menyediakan beberapa aktiviti menarik di sekitar kawasan penginapan untuk kami pada waktu malam seperti menonton wayang pacak secara ‘outdoor’.

TUGU peringatan Park of 28 Panfilov Guardsmen antara lokasi bersejarah yang wajib dilawati di Almaty.

Walaupun suhu mencecah hampir -18  darjah Celsius pada malam itu, tetapi pihak hotel menyediakan selimut tebal, selain memasang unggun api semasa aktiviti menonton wayang pacak tersebut.

Selain itu, penulis berkesempatan berkunjung ke Kaindy Lakes, di mana pada ketika itu tasik berkenaan sedang membeku dan pengunjung boleh berjalan di atasnya.

Menariknya, pengunjung yang ingin ke Kaindy Lakes perlu menunggang kuda selama hampir sejam menyelusuri bukit bersalji sebelum sampai ke tasik berkenaan.

Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman menunggang kuda sebelum ini, namun penulis berjaya mengendalikan haiwan itu dengan baik.

Untuk rekod, harga untuk menunggang seekor kuda selama sejam hanya sekitar RM70.

Ia disifatkan sebagai sangat berpatutan berikutan banyak pemandangan indah yang disajikan sepanjangan perjalanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN