HARI raya merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh semua orang. Ini kerana, ketika itulah kita dapat bersatu kembali bersama insan tersayang baik yang jauh mahupun dekat untuk mengeratkan ikatan silaturahim serta menikmati pelbagai juadah.
Namun, bagi wanita yang ingin dikenali sebagai Lin, ia meninggalkan ‘parut’ yang amat dalam dan perkara itu tidak akan pernah dilupakannya selagi hayat dikandung badan.
Membuka bicara, wanita berasal dari ibu kota itu memberitahu, dia diceraikan oleh suaminya pada hari raya empat tahun lalu angkara perangai buruk mentua dan ipar-ipar.
Berkongsi kisah pilu itu, Lin memberitahu, dia berkahwin dengan bekas suaminya selama lapan tahun dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
“Di awal perkahwinan, boleh dikatakan semuanya baik saja. Ketika anak kedua lahir, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberikan tumpuan membesarkan anak-anak.
“Keputusan itu dipersetujui oleh suami kerana dia sibuk menguruskan perniagaan dan tidak elok jika kedua-dua ibu bapa sibuk.
“Sekurang-kurangnya, saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga.
“Walaupun suami sibuk dengan pekerjaannya, namun kami bahagia kerana suami seorang yang baik dan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya,” cerita wanita berusia 37 tahun itu.
Namun, semuanya berubah apabila suaminya mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibu mentua di kampung kerana bimbang tiada siapa yang menjaganya selepas kematian bapa.
“Suami saya anak sulung daripada lima beradik dan sebagai abang sulung, dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga ibunya di kampung.
“Ini memandangkan adik-beradik yang lain bekerja makan gaji dan sukar untuk mereka berpindah begitu sahaja.
“Kami juga sudah ajak ibu mentua untuk tinggal bersama di ibu kota, tetapi biasalah orang tua tidak suka hidup di bandar.
“Oleh itu, suami saya mengambil keputusan supaya kami sekeluarga tinggal bersama ibunya di kampung,” katanya.
Setelah dua tahun tinggal sebumbung bersama mentua, kehidupan Lin sangat terseksa dengan perangai cerewet dan suka membebel. Ada sahaja perkara yang tidak kena di mata mentuanya.
“Perangai ibu mentua saya berubah, dulu dia layan saya baik. Namun, sejak tinggal bersama, rasa macam hamba dibuatnya terutamanya pada hari raya.
“Oleh kerana kami satu-satunya anak menantu yang tinggal bersama dan berada paling dekat. Segala persiapan raya diletakkan sepenuhnya di atas bahu kami.
“Persiapan memasak dan mengemas semua saya lakukan, manakala anak-anak yang lain diminta berehat kerana alasan mentua, mereka penat memandu jauh,” ujarnya.
Lin berkata, dia berasa sangat penat kerana anak menantu yang lain lepas tangan.
Sudahlah persiapan raya tidak ditolong, pinggan mangkuk dibiarkan bersepah.
“Masa awal kahwin, saya sudah perasan perangai ipar dan biras yang pemalas, tetapi tidak ketara sangat kerana kami sama-sama merantau jauh. Ada juga mereka bantu serba sedikit.
“Namun, setelah saya tinggal bersama mentua, tanggungjawab menguruskan ibu mentua dan keperluan lain diserahkan sepenuhnya kepada saya dan suami,” tuturnya.
Ujar Lin, dia cuba bersabar dan menganggap ujian itu sebagai ‘ladang’ pahala untuknya kelak.
Tidak semua berpeluang berbakti kepada orang tua dan pahalanya sangat besar.
Namun, kesabaran Lin ‘meledak’ apabila melihat pinggan mangkuk dibiarkan di dalam singki tanpa dibasuh. Lalu dia bersuara kepada ipar-iparnya dan meminta mereka membasuhnya.
“Mereka tiba-tiba melenting dan mengatakan saya berkira tenaga dan lebih menyedihkan ibu mentua masuk campur.
“Suami meminta saya mengalah dan meminta maaf, tetapi ‘api’ di dada semakin marak kerana sudah lama memendam segala perbuatan buruk mereka. Saya menengking ibu mentua dan ipar-ipar.
“Rasa puas dan lega, tetapi bahananya saya diceraikan talak satu oleh suami kerana dikatakan derhaka dan memalukannya di depan keluarga,” katanya.
















