fbpx
Mercedes-Maybach EQS 680 merupakan kenderaan elektrik pertama sepenuhnya yang didedikasikan untuk model Maybach.

Keunggulan SUV ultra mewah Mercedes-Maybach EQS 680

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAMBANG kemewahan yang menggabungkan kecemerlangan automotif termaju dan mobiliti elektrik meletakkan standard baharu dalam era Mercedes-Maybach.

Selaras ke arah elektrifikasi, Mercedes-Maybach memancarkan ‘kemewahan canggih’ dalam setiap perincian dengan rekaan ekspresif, kehalusan dan keanggunan.

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini telah melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik mewah Mercedes-Maybach EQS 680 untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM1,088,888.

Mercedes-Maybach EQS 680 ini adalah kenderaan elektrik pertama sepenuhnya yang didedikasikan untuk model Maybach.

Kemewahan kenderaan ini boleh dilihat dari segi rekaan luarannya yang menonjolkan identiti mewah Maybach dengan gril ikonik, lampu belakang LED 3D Helix Design.

Bagi menyerlahkan SUV mewah ini, corak lambang Maybach diletakkan di bahagian trim bampar sisi.

Kelengkapan serba mewah yang begitu menyerlah.

Ciri lain yang melengkapkan rekaannya termasuk sistem pencahayaan lampu digital dengan fungsi projektor, pemegang pintu jenis terbenam dan bumbung panoramik boleh laras.

Perincian ini diperkemas dengan rim aloi 21 inci berekaan eksklusif Maybach.

Bagi versi dengan pakej rekaan Night Series, model ini diberikan gaya lebih eksklusif termasuk logo Maybach dalam warna rose gold, kemasan krom gelap, panel gril dengan corak garisan lebih gelap dan sebagainya.

Mercedes-Maybach EQS 680 dengan dimensi panjang 5,128 milimeter (mm), lebar 2,156mm, tinggi 1,717mm dan jarak roda sepanjang 3,211mm menjanjikan kestabilan optimum di atas jalan raya.

Dari segi kuasa, model ini dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 658hp dan tork 950Nm.

Ia boleh memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.4 saat dengan kelajuan maksimum 210km/j.

Ruangan kokpitnya yang kelihatan mewah dan elegan.

SUV elektrik ultra mewah ini menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan bateri berkapasiti 118kWh membolehkannya mencapai jarak gerak sejauh 602 kilometer.

Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan AC sehingga 22kW dan pengecasan pantas DC sehingga 200kW.

Masa yang diambil untuk pengecasan penuh dengan AC ialah enam jam 15 minit, manakala dengan pengecas pantas DC hanya dalam tempoh 31 minit.

Meninjau ke ruangan kabin, elemen eksklusif dan mewah diterapkan dengan penggunaan material premium upholsteri kulit Nappa kayu berkualiti tinggi selain alas kaki berbulu tebal yang mewah.

Ruang kabin bagaikan berada dalam kokpit mewah dengan bahagian alas kepala kerusi yang ‘gebu’ memberikan keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

Ia turut menerima kelengkapan mewah seperti pakej kulit Manufaktur, tempat duduk belakang boleh dilaras dengan fungsi pemanas, urutan dan memori.

Selain itu, SUV ini secara standard, dilengkapi sistem audio keliling Burmester 4D, skrin MBUX Hyperscreen dengan paparan eksklusif Maybach serta sistem infotainment MBUX khas Maybach.

Untuk ciri keselamatan, Mercedes-Maybach EQS 680 dilengkapi 11 beg udara, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh, Driving Assistance Package Plus dan Active Lane Keeping Assist.

Sebagai konklusi, penulis melihat era Mercedes-Maybach ini direka untuk penggunaan automotif teknologi hijau bagi golongan profesional dengan garapan nilai-nilai eksklusiviti menjadikan SUV mewah ini lain daripada lain.

Bukan hanya dari segi rekaan yang mewah dan unik, tetapi kecanggihan teknologi digabungkan sebagai satu elemen terunggul untuk model SUV ultra mewah Maybach.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN