fbpx
Gambar hiasan

Jika tangisan makanan dapat didengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Siapa kata orang Malaysia tiada duit, apatah lagi berbelanja di bulan Ramadan untuk membuat persiapan menyambut Syawal dalam tempoh dua minggu lagi.

Mengambil kata seorang teman, ‘duit mengalir macam air dalam bulan puasa ini’, semuanya mahal, semuanya nak kena keluar belanja, termasuk juga berbelanja untuk balik ke kampung berhari raya.

Semuanya bergantung kepada bajet sama ada kecil atau besar, ramai yang sudah mula membuat pengiraan untuk keluar membeli-belah pada hujung minggu bersama keluarga selain membuat tempahan berbuka puasa di hotel atau restoran atau ke destinasi yang diminati mereka.

Jadi tidak hairanlah jika kita melihat fenomena berbuka puasa di hotel bertaraf tiga hingga lima bintang dan restoran sentiasanya penuh, lebih-lebih lagi dalam tempoh dua minggu sebelum Syawal menjelang tiba dengan kapasiti pengunjung bertambah sekali ganda.

Pastinya pihak restoran boleh ‘buat duit’ tetapi dalam masa yang sama, kita dapati persiapan, kapasiti dan kos untuk memasak di dapur juga meningkat.

Berbaloi rasanya jika membayar RM260 atau RM300 seorang dewasa untuk menikmati ratusan jenis menu daripada segmen pembuka selera hinggalah kepada manisan dan pelbagai air panas serta sejuk selain dapat juga meluangkan masa, mengeratkan masa bersama keluarga, rakan sekerja, bekas pelajar sekolah dan juga majikan meraikan pekerjanya.

Dalam keghairahan memilih pelbagai jenis hidangan yang diatur di atas meja, ada sahaja kelihatan beberapa makanan yang tidak langsung diusik kerana terlalu kenyang.
Isu pembaziran lauk-pauk dan makanan pada bulan puasa terus berlarutan saban tahun dan pastinya memberi impak daripada segi kos yang perlu peniaga tanggung.

Bagi pihak hotel, mereka ada cara dan formula sendiri untuk mengatasi masalah ini, malah mereka membeli mesin khusus untuk memproses sisa makanan menjadi baja mengikut konsep kelestarian untuk menjaga alam sekitar lebih selamat untuk jangka panjang.

Tetapi bagaimana pula dengan nasib sisa makanan daripada premis kafe, restoran dan kedai makan yang pastinya sisa makanan dalam bulan Ramadan ini akan bertambah.

Kumpulan peniaga ini tidak perlu berbelanja besar mencari modal berjuta ringgit untuk menyelesaikan masalah ini tetapi perlunya pendekatan daripada pihak kerajaan, syarikat swasta serta universiti bekerjasama melaksanakan satu kempen kesedaran untuk membantu usahawan menguruskan sisa makanan secara lebih efisien.

Tingkatkan kesedaran ini terlebih dahulu agar pihak pengusaha tahu bagaimana hendak membuat proses kitaran semula terhadap sisa makanan dengan cara yang mudah dan kos efektif.

Jika perkara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, tiada lagi masalah keracunan makanan dalam kalangan pengguna yang tersalah membeli makanan yang dimasak sehari awal tetapi tidak habis dan dipanaskan semula selain membungkusnya dengan cara promosi yang agak menarik.

Jangan tipu pelanggan kerana rezeki tidak diberkati itu akan memberi kesan berpanjangan dalam diari hidup seseorang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN