Kebiasaannya, trip akan berjalan lama dan memerlukan peserta bermalam di atas bot. Hasil yang menjadi target utama selalunya ikan-ikan bergred baik seperti ikan merah, ebek, cermin, sagai, ibu kerisi, tenggiri, gerepoh dan sebagainya.
Agak lama juga saya tidak memancing di sekitar kawasan pelantar minyak. Sebaik menerima pelawaan daripada ketua kumpulan kami Hasnizan, saya terus bersetuju untuk mengikut trip selama lima hari empat malam ini.
Selepas solat Jumaat, kami pergi ke jeti Pengkalan Petah Bachok, Kelantan untuk menaiki bot.
Selesai segala peralatan dimuatkan ke dalam bot, kami mula bergerak ke lokasi pancingan pada pukul 3 petang.
Kali ini, semua peserta akan menggunakan set pancing kekili elektrik kerana rata-rata kami sudah berumur.
Jadi, penggunaan set pancingan biasa bukanlah kudrat kami untuk melayannya, lebih-lebih lagi dengan kawasan dasar yang dalam dan dihuni ikan-ikan bersaiz kasar.
Kami tiba di lokasi pancingan pertama kira-kira pukul 6 petang. Ia adalah kawasan unjam untuk mencari umpan ikan hidup dengan cara mengunjun apollo.
Setelah cukup umpan ikan hidup yang diperlukan, kami bergerak semula ke lokasi kedua.
Sepanjang perjalanan, kami hanya berehat dan mempersiapkan alatan ‘perang’. Bot tiba di destinasi pada pukul 4 pagi, namun tiada hasil yang boleh dibanggakan.

Hari kedua
Sebaik selesai sarapan, kami bergerak semula ke pelantar minyak cari gali Hess A18 pada pukul 11 pagi.
Mengikut undang-undang, apa jua jenis bot tidak dibenarkan menghampiri kawasan pelantar minyak, kecuali bot-bot yang ada urusan rasmi.
Jadi, bot kami dijangkar kira-kira 1,000 meter dari pelantar minyak tersebut iaitu di luar zon keselamatan pelantar. Kemudian, barulah kami mula memancing.
Betul kena pada kawasan ikan, seekor demi seekor ikan daripada pelbagai spesies mula dinaikkan.
Ada peserta yang menarik ikan ebek, ada mula mencandat sotong yang kemudiannya bertukar menjadi umpan terbaik untuk memancing ikan-ikan bersaiz kasar.
Menjelang petang, kami berpindah ke sekitar kawasan penyimpanan minyak Puteri Cakerawala yang berupa seperti sebuah kapal besar. Tekong parkir bot jauh dari kapal tersebut. Sesi pancingan malam di lokasi ini kurang memberangsangkan.
Hari Ketiga
Kawasan sekitar Puteri Cakerawala ini juga merupakan lubuk ikan. Jadi, kami akan berpindah-pindah di kawasan sekitar radius ini untuk mencari lokasi ikan berkampung.
Kami berpindah ke lokasi baharu yang terletak kira-kira dua jam perjalanan. Kali ini, kami duduk pula di rumah ebek. Masing-masing saling bersaing sesama sendiri menaikkan ebek pelbagai saiz.
Menjelang petang, ikan mula ‘mengunci’ mulut menyebabkan tekong berpindah lokasi lagi.
Sebaik sampai di lokasi pada pukul 5.30 petang, kami sambung memancing semula sehinggalah pukul 11.30 malam. Ketika itu, angin mula bertiup kencang. Tekong cuba bertahan, namun setengah jam kemudian, kami membuat keputusan untuk menamatkan trip lebih awal, sebelum bergerak pulang.














