MELAKA – Pernah dilabel ‘orang gila’ dan beberapa kali ditahan kerana aduan disebabkan kurang siuman, Nor Kamariah Mohd. Khalid Kourdes Lio, 41, kini bangkit membuktikan bahawa tiada
yang mustahil dalam kehidupan.
Semangat juang wanita kelahiran Kampung Ujung Pasir yang mesra dipanggil Dak Nor itu membuahkan hasil apabila dia menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal 2025 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara minggu lalu.
Anugerah itu adalah bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025. Mengimbau detik hitam dalam hidupnya, Dak Nor berkata, dia pernah mengalami gangguan mental akibat tekanan hidup dan kegagalan dalam percintaan.
“Saya dilahirkan dalam keluarga miskin dan pernah disahkan sebagai pesakit mental. Saya masih ingat katakata orang, ‘ah, budak gila ni, jangan dilayan! Hantar sahaja ke hospital gila, menyusahkan orang.’
“Ketika itu, tiada siapa yang peduli tentang saya, namun semuanya berubah selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem tampil membantu membawa saya kembali ke jalan yang betul,” katanya ketika ditemui di Japerun Duyung di sini, semalam.
Berkat usaha dan sokongan orang ramai, Dak Nor yang mempunyai lebih 70,000 pengikut di aplikasi TikTok kini sudah mampu menjana pendapatan sendiri menerusi perniagaan makanan
selain menjual biskut raya di bazar Aidilfitri.
Meskipun masih mendapatkan rawatan berkala di Hospital Melaka, Dak Nor yang masih bujang menegaskan, penyakit mental yang dialami bukanlah penghalang untuk seseorang itu berubah menjadi lebih baik.
“Anugerah (Anugerah Kasih Wanita Cekal) ini bukan untuk dimegahkan, tetapi ia menjadi bukti bahawa sesiapa sahaja boleh bangkit sekiranya diberikan peluang dan sokongan.
“Jangan hina pesakit mental, sebaliknya beri mereka semangat dan doa yang baik-baik,” katanya.
Selain mahu memajukan perniagaan sendiri, Dak Nor juga berhasrat untuk membantu golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.
“Saya berharap kisah saya dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib. Tidak kira sebesar mana pun ujian yang melanda, selagi ada usaha dan doa, pasti ada sinar di hujung jalan,” kata wanita itu.
Kisah yang menimpa Dak Nor pernah tular beberapa tahun lalu selepas Mohd. Noor Helmy kerap berkongsi video ketika membantu wanita dari Melaka itu di akaun media sosialnya.
Selepas diselamatkan, Dak Nor mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci masjid selain menjual mi siput.
Sementara itu, Mohd. Noor Helmy menyifatkan perubahan yang dilalui oleh Dak Nor sejak beberap tahun lalu adalah kerana keinginannya sendiri yang mahu bangkit dan memperbaiki kehidupan.
“Dia (Dak Nor) selalu meminta nasihat dan bantuan setiap kali dia mempunyai masalah. Yang penting, dia percaya kepada saya dan mengikuti setiap nasihat yang diberikan,” katanya.
Tambah beliau, kisah Dak Nor membuktikan bahawa ujian yang diberikan Allah bukanlah untuk melemahkan seseorang, tetapi sebagai satu bentuk kasih sayang agar mereka menjadi lebih kuat dan berjaya dalam hidup.














