SEBERANG PERAI – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan terhadap seorang doktor sebuah hospital kerajaan di negeri ini yang didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa pesakit wanita.
Pengarahnya, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, pihaknya masih belum dimaklumkan sama ada individu berkenaan telah dibebaskan selepas ditahan reman semula, baru-baru ini.
“Kita tidak ada apa-apa maklumat sama ada dia sudah dibebaskan atau tidak kerana belum dapat pemberitahuan rasmi dari pihak polis.
“Memandangkan ia masih dalam siasatan polis maka kita tunggu dulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. Kita memang akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam kes ini,” katanya selepas mengadakan Program Jelajah Mesra bersama Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen di Bazar Ramadan Batu Kawan, di sini, hari ini.
Sebelum in, Kosmo! Online melaporkan polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini, pada 9.30 malam, 26 Februari lalu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.
Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac lalu.
Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023.
Jumaat lalu, seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari lalu. -KOSMO! ONLINE