Banyak busana raya wanita tahun ini didatangkan dengan selendang bahu atau selempang.

Selendang selempang jadi trend busana wanita lebaran ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGAYAAN baju kebaya atau baju kurung bersama selendang di bahu cukup sinonim dengan tatacara pemakaian diraja dan juga gaya wanita Melayu zaman dahulu.

Namun, gaya klasik itu dilihat bakal popular Aidilfitri tahun ini apabila banyak label tempatan memperkenal serta menghasilkan busana yang datang bersama sehelai selendang atau selempang untuk mengembalikan gaya anggun dengan sentuhan moden.

Pempengaruh fesyen, Ain Tasnim Khalil juga dapat menghidu trend tersebut. Menerusi videonya di Instagram dan TikTok, dia berpendapat, hampir kesemua baju raya wanita tahun ini mengeluarkan busana raya yang digayakan dengan selendang selempang.

Antara label yang menampilkan fesyen sedemikian adalah FM by Fuzana Mokhtaza dan Variante.

Pengasas FM by Fuzana Mokhtaza iaitu pereka fesyen terkenal, Fuzana Mokhtaza memberitahu, labelnya bagaimanapun sudah lama memperkenal penggayaan selendang di bahu sebagai pelengkap gaya wanita.

“Kami sudah lama mempraktik padanan selendang pada pakaian menerusi koleksi bespoke. Busana bespoke kami sering menjadi pilihan untuk digayakan klien kami yang berkunjung ke istana yang mana kod pakaiannya memerlukan penggayaan sehelai selendang di bahu.

“Saya secara peribadinya melihat gaya ini nampak elegan, lembut, klasik dan menyerlahkan sisi anggun seorang wanita,” katanya.

Fuzana menambah, menerusi koleksi Aidilfitrinya yang diperkenalkan pada pertunjukan fesyen ZALORA baru-baru ini, dia banyak memperkenalkan penggayaan selendang pada baju kurung yang diberi sentuhan moden.

Menerusi look lebaran tahun ini, Fuzana memilih dua jenis fabrik untuk menghasilkan selendang iaitu sifon dan organza. Katanya, kedua-dua fabrik ringan dan jarang itu mempunyai estetika yang tersendiri.

“Sekiranya baju yang digayakan jenis ringkas, tanpa perincian yang sarat, selendang organza lebih sesuai untuk digayakan, memandangkan fabrik tersebut memberikan volume pada pakaian, sekali gus menyerlah elemen glamor pada gaya keseluruhan.

“Jika busana anda sudah sarat, fabrik sifon lebih sesuai memandangkan ia mampu melembutkan atau menjadikan pakaian sarat nampak lebih toned-down, memandangkan fabriknya yang lembut beralun memberi efek ayu pada pemakai,” ujarnya.

Sementara itu, pengasas Variante, Leslie Variyan menterjemah gaya anggun berselendang menerusi koleksi Aidilfitri 2025, Gemilang Raya.

“Untuk koleksi Aidilfitri tahun ini yang juga sempena ulang tahun Variante ke-20, maka kami berhasrat meraikan corak yang menjadi DNA Variante sejak mula diasaskan.

“Sebagai contoh, salah satu busana kami iaitu Wilma Green Ikat Blouse with Skirt dihasilkan dengan motif corak ikat yang dilukis sendiri dan lebih istimewa, didatangkan bersama selendang corak sama, namun dalam material berbeza,” katanya.

Set busana sedemikian juga amat memudahkan pemakai, memandangkan mereka tidak perlu memikirkan selendang berwarna atau selendang corak apa yang sesuai untuk dipadankan bersama baju yang digayakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN