fbpx
Abdullah (tengah) didenda RM3,500 kerana memiliki 798.6 kg karkas lembu dan kerbau disembelih di rumah sembelihan tidak berlesen di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Peniaga didenda miliki daging disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memiliki 798.6 kilogram (kg) karkas lembu dan kerbau yang disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen pada akhir tahun lalu, seorang peniaga didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Yuhanis Mohd. Roslan menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Abdullah Ismail, 33, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 798.6 kg karkas lembu dan kerbau tersebut yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan mengikut Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan Abdullah di pekarangan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UnISZA), Kuala Nerus pada pukul 8.30 pagi, 16 Disember tahun lalu.

Mengikut fakta kes, karkas lembu dan kerbau itu dijumpai dalam sebuah lori jenis Isuzu milik tertuduh.

Dia didakwa mengikut Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Penyembelihan (Pindaan) 2018 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala Abdullah pula tidak diwakili peguam.

Abdullah dalam rayuannya memohon hukuman denda rendah memandangkan dia kerugian lebih RM20,000 berikutan 798.6 kg karkas lembu dan kerbau tersebut dirampas penguat kuasa JPV. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN