MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya perlu berjuang untuk mendapatkan trofi Piala FA musim ini selepas menyaksikan mereka ketinggalan sebelum mencatat kemenangan ke atas Plymouth Argyle 3-1 pada aksi awal pagi semalam.
Pada saingan pusingan kelima yang berlangsung di Etihad itu, City terlebih dahulu ketinggalan selepas Maksym Talovierov meledak gol pembukaan Plymouth sebelum tuan rumah memadam kelebihan itu menerusi dua gol Nico O’Reilly dan Kevin De Bruyne.
O’Reilly yang merupakan pemain pertahanan muda berjaya meledak gol pada kedua-dua babak sebelum De Bruyne melengkapkan kemenangan City menerusi jaringan hujung permainan menyebabkan Guardiola yakin mereka mampu mencabar kejuaraan musim ini.
“Saya memberikan kredit kepada Plymouth kerana menyebabkan pasukan kami terpaksa berdepan kesukaran. Mereka bermain dengan sangat tersusun, tetapi kami berjaya bangkit memberikan aksi lebih baik.
“Kami terlebih dahulu dibolosi, tetapi kami mampu bermain dengan solid. Saya sangat gembira dengan aksi dipamerkan oleh para pemain. Tidak ada pasukan yang berada di separuh akhir untuk tempoh lima atau enam musim berturut-turut seperti yang kami lakukan.
“Jadi, kami akan berjuang sekali lagi musim ini untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik dan menunggu keputusan undian nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Guardiola memuji aksi yang dipamerkan O’Reilly yang baru memasuki usia 19 tahun apabila menganggap pemain itu adalah sangat berbeza dan luar biasa berbanding pemain akademi lain apabila mampu bermain di beberapa posisi. – AGENSI














