Mempunyai sejarah yang tersendiri, Hong Kong terkenal sebagai salah satu destinasi percutian di Asia. Kawasan pentadbiran khas yang bernaung di bawah China ini mempunyai daya tarikannya tersendiri kerana keunikan sejarahnya.
Oleh kerana Hong Kong pernah menjadi salah satu tanah jajahan Inggeris, maka sisa pengaruh negara Eropah masih ada di situ.
Dengan penduduk sekitar 7.4 juta orang, Hong Kong menduduki tempat keempat dalam senarai kepadatan penduduk dunia.
Mirip kota Singapura, penulis dapati kebanyakan gedung dan bangunan dibina tinggi demi menjimatkan ruang. Lantas tidak hairanlah jika ia dipenuhi bangunan pencakar langit.
Untuk memudahkan proses menjelajah kota ini, penulis menyarankan pelawat menggunakan sistem pengangkutan awam mereka yang sangat cekap.
Pulau ini disambung dengan jaringan aliran metro yang luas bagi memudahkan penduduknya bergerak ke semua pelosok pulau ini.
Dengan menggunakan kad serba guna yang diberi nama ‘Octopus’, kita dapat memanfaatkan perjalanan sepuasnya di Hong Kong. Kad ini boleh digunakan di semua pengangkutan awam di bandar raya tersebut.
Di setiap stesen Mass Transit Railway (MTR), terdapat mesin yang membolehkan penumpang mengisi menambah kredit dalam kad seperti ‘Touch and Go’ di Malaysia.
Antara tempat yang harus dilawati kalau ke Hong Kong sudah tentulah Victoria Peak yang menawarkan pemandangan terindah kota tersebut.
Saujana lebih menakjubkan sekiranya berkunjung ke situ pada waktu malam.
Di situ juga terletaknya Muzium Patung Lilin Madame Tussauds seperti yang ada di London, New York dan Paris.
Satu lagi tarikan yang harus dikunjungi adalah taman tema tersohor dunia, Disneyland.

Sungguhpun keluasan taman itu tidak sebesar di negara asalnya iaitu Amerika Syarikat, namun cawangan di Hong Kong sangat menyeronokkan.
Lebih istimewa, Disneyland di Hong Kong juga adalah mesra Muslim.
Bukan sahaja mempunyai restoran yang menjual makanan halal di taman temanya, malah memiliki ruang solat serta tempat berwuduk untuk pengunjung Islam.
Pastikan anda menjejakkan kaki ke kawasan Mongkok yang dikenali sebagai pusat berbelanja.
Pada waktu malam, jalan di kawasan Mongkok dipenuhi dengan pasar malam yang menjual 1,001 objek menarik.
Bagi yang suka membeli pakaian, deretan kedai dan butik memenuhi di sekitar Hong Kong.
Terdapat juga sebuah lorong yang mendapat julukan sneaker street atau ‘jalan kasut sukan’. Ini kerana, kawasan itu merupakan ‘syurga’ pencinta kasut.
Ia dipenuhi dengan puluhan butik yang menjual kasut sneakers berjenama pada harga lebih murah daripada biasa.
Buat para pencinta fesyen, jangan lupa untuk ‘memanjangkan’ langkah ke PMQ. Ia merupakan pusat para pereka baharu Hong Kong menjual dan mempromosikan karya-karya mereka.
Kebetulan di situ ada salah satu restoran mesra Muslim Hong Kong yang tersohor iaitu Pasteako.
Terkenal dengan hidangan pasta bersama daging. Daging yang dijual di restoran ini disahkan halal.
Lebih istimewa, para pengunjung diberi kesempatan untuk memilih pisau pilihan mereka yang akan digunakan untuk memotong daging sewaktu hidangan dihasilkan.
Di samping itu, lokasi bangunan PMQ ini juga unik dan cantik.
Di sini juga terdapat lorong-lorong kecil dan anak tangga yang menuntut setiap pengunjung berjalan kaki serta mendaki.
Sedikit memenatkan jika ke sana dengan menaiki pengangkutan awam, tapi percayalah ia sangat berbaloi.
Bercakap tentang mesra Muslim, Hong Kong kini semakin prihatin dengan kehendak pelawat beragama Islam.
Hari demi hari, kian bertambah jumlah perniagaan mesra Muslim.
Berdekatan dengan Masjid Kowloon di pusat bandar Hong Kong, terdapat sebuah restoran mewah yang mendapat rekomendasi Michelin iaitu Cuisine Cuisine.
Bernaung di salah satu hotel seni tersohor di Hong Kong iaitu The Mira Hotel, restoran ini ada menyajikan beberapa masakan asli Cina Kantonis yang halal.
Malah, restoran ini turut mendapat pengiktirafan empat ‘bulan sabit’ oleh Crsecent Rating iaitu salah satu badan pengiktirafan produk mesra Muslim terkenal di dunia.
Satu lagi destinasi yang menjadi tumpuan dalam kalangan pengunjung Muslim, pelancong dan penduduk tempatan adalah Marouf Coffee.
Ia merupakan sebuah kafe yang menawarkan puluhan pilihan makanan berasaskan pastri dan roti.
Lebih istimewa, semua daging yang digunakan dalam pembuatan hidangan di situ adalah halal.
Bagi penginapan pula, bersebelahan stesen MTR Mongkok terdapat sebuah hotel yang boleh memudahkan pergerakan para tamu menggunakan sistem kereta api bawah tanah.
Seperti kebanyakan hotel di bandar raya terkemuka Asia, lobi hotel terletak di tingkat atas, manakala aras paling bawah hanyalah pintu masuk.
Bagi yang menyukai hotel dengan sentuhan seni moden dan kontemporari, Southside by Ovolo mungkin lebih menepati cita rasa anda.
Hotel ini terletak di kawasan Abderdeen iaitu sekitar empat minit dari stesen MTR terdekat.
Bak ‘permata’ tersembunyi di sebelah selatan Hong Kong, Southside oleh Ovolo adalah hotel butik yang berasaskan reka bentuk.
Hotel itu menawarkan pengalaman baharu kepada pelawat kerana terletak di salah satu kejiranan paling meriah di Hong Kong.








