fbpx
SEORANG pegawai penyelidik melakukan pencapjarian DNA beras putih di Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Ibu Pejabat Mardi, Serdang baru-baru ini. - ISKANDAR ISHAK

‘Kasihan Pak Mat, terpaksa beli beras mahal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMPAKNYA satu Malaysia sudah kena main. Cakap-cakap atau dakwaan kononnya beras putih tempatan (BPT) dicampur dengan beras putih import (BPI) sebelum ini terbukti benar.

Rabu lalu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengesahkan terdapat pengilang telah mencampurkan BPT dengan BPI. Puncanya tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapat keuntungan lebih tinggi.

Analisis yang dilakukan bermula hujung 2023 hingga Mac 2024 mendapati, kira-kira 45 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import hasil rampasan pihak penguasa di kilang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan.

Untuk makluman, BPT dijual pada harga RM2.60 untuk satu kilogram (kg). Harga makanan ruji ini tidak pernah dinaikkan sejak 2008 serta yang terendah di rantau ini.

Jadi kampit 10kg beras putih tempatan dijual RM26 berbanding beras import yang mencecah RM45 sehingga RM48 untuk berat yang sama. Hampir sekali ganda dengan BPT. Beras import tidak dikawal oleh kerajaan dan harganya adalah mengikut pasaran.

Sebelum itu kita harus faham kenapa BPI ini harganya melambung sejak 2023. Pelbagai faktor menyumbang antaranya faktor cuaca yang menjejaskan pengeluaran makanan dunia. Thailand pada Ogos 2022 menjual berasnya pada harga AS$400 (RM1,870) per tan. Namun, pada Ogos 2023 negara itu menjual beras keluarannya pada kadar mencecah AS$650 (RM3,039) per tan.

Kenaikan harga BPI ini secara tidak langsung memberi dampak kepada rakyat Malaysia. Antara kesan-kesannya adalah permintaan kepada beras tempatan naik. Sehingga timbul senario ‘pembolotan’ komoditi.

Peniaga-peniaga tamak mula buat perangai. Rakyat yang memerlukan BPT terpaksa bersaing dengan mereka. Peniaga ada ‘akses cekang’ almaklumlah dalam rantaian pengeluaran beras golongan ini berada atas daripada pengguna.

Bagi menjimatkan kos, para peniaga ‘membolot’, membeli, menyimpan stok beras tempatan dalam kuantiti banyak sehingga bekalan cepat habis di pasaran. Pendedahan MARDI bahawa beras tempatan dan import dicampurkan pada peringkat pengilang hanya mengesahkan kegusaran rakyat sebelum ini.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd. Shahril Firdaus Ab. Razak dipetik berkata, tiada akta yang menegah perbuatan mencampurkan beras tempatan dan import tersebut. Sebaiknya kerajaan menetapkan peraturan baharu dalam mengelakkan pemanipulasian ini daripada berterusan sehingga menekan rakyat termiskin.

Bayangkan, Pak Mat berusia 50-an yang menyara isteri dan lima anak dengan gaji buruh sebanyak RM1,500 sebulan. Anak sulung berusia 25 tahun sedang menuntut di universiti awam di ibu kota. Anak-anak yang lain masih belajar di sekolah.

Pergi ke kedai runcit bawa wang RM50 untuk membeli barang keperluan. Berikutan tiada beras tempatan RM26, yang ada cuma beras import RM42. Pak Mat terpaksa jugalah membelinya. Baki yang ada pula tidak cukup membeli keperluan lain. Kasihan Pak Mat jadi mangsa ‘sistem’ yang bobrok. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN