fbpx
ORANG ramai boleh memuat turun aplikasi Trash4Cash bagi mendapatkan ganjaran daripada barangan yang dikitar semula.

Inovasi digital pupuk semangat kitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KITAR semula adalah satu proses pemulihan semula bahan buangan sebelum dijadikan produk baharu. Antara barangan yang boleh dikitar semula adalah besi, keluli, aluminium, botol kaca, kertas dan plastik.

Barangan kitar semula itu boleh berfungsi sebagai pengganti bahan daripada sumber asli yang semakin terhad seperti petroleum, gas asli, arang batu, mineral dan pokok.

Aktiviti itu juga dapat membantu mengurangkan kuantiti sisa pepejal di tapak pelupusan sampah yang kini semakin meruncing di negara ini.

Pengurusan sampah bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, malah lokasi dan tenaga kerja mahir juga penting bagi memastikan kelestarian negara terjamin.

Disebabkan itu, aktiviti kitar semula perlu diterapkan dalam diri terutamanya dalam kalangan belia dan kanak-kanak.

Usaha itu dapat mewujudkan generasi yang cakna terhadap kesan kepada alam sekitar sekiranya mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap sisa buangan.

Sebaiknya pendidikan kitar semula perlu bermula dari rumah, di mana ibu bapa harus mendidik anak-anak tentang cara mengasingkan sisa buangan dengan betul dan selamat.

Tidak dinafikan, kerajaan, pihak swasta dan institusi pendidikan telah memainkan peranan masing-masing dengan meletakkan tong sampah mengikut kategori sisa buangan di bangunan awam, pusat beli-belah, sekolah serta pusat pengajian tinggi.

Namun, usaha tersebut dilihat kurang memberi impak kepada masyarakat kerana kebanyakan mereka masih mengambil sikap ‘lepas tangan’ dan tidak mementingkan aktiviti kitar semula.

Bagi menggalakkan budaya kitar semula dalam masyarakat, Trash4Cash mewujudkan fasiliti mesin kitar semula konsep pandu lalu automatik.

PUSAT kitar semula pandu lalu Trash4Cash beroperasi selama 24 jam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif Trash4Cash Cawangan Selangor, Shafreez Redza Mhd Saiful Anwar berkata, pihaknya optimis bahawa usaha itu mampu menjadi penggerak kepada budaya kitar semula di kawasan perumahan.

“Tidak hanya itu, kami menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dalam aplikasi Trash4Cash bagi menarik minat masyarakat mengitar semula sambil menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Menerusi teknologi Internet of Things (IoT), pengguna yang melakukan kitar semula barangan seperti besi, kertas, kotak, aluminium, plastik atau minyak masak terpakai akan mendapat bayaran menerusi aplikasi Trash4Cash.

“Pada awalnya, aktiviti kitar semula ini sekadar projek biasa yang dimulakan pada 2017 dengan mengumpul barangan terpakai di sekitar Selangor.

“Kemudian, banyak pihak menyambut baik usaha ini sehinggakan kami mendapat permintaan daripada kerajaan negari agar mewujudkan sistem kitar semula di seluruh Selangor.

“Sokongan itulah membuatkan kami bergerak lebih agresif dengan membangunkan fasiliti kitar semula dengan cara pandu lalu yang bukan sahaja mudah, malah dapat menjimatkan masa dan ruang pada 2020.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ini dan imbas kod bar yang ada pada mesin kitar semula untuk pengesahan maklumat diri, jenis barangan serta tujuan sama ada untuk dijual, diderma atau pembelian insurans takaful.

“Aplikasi ini mampu mengenal pasti berat bahan kitar semula, proses bayaran dan peratusan jumlah pencemaran karbon yang dapat dielakkan,” kata Shafreez Redza.

Dia ditemu bual di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik Persatuan Penduduk Seksyen 17, Timur dan Barat, Selangor baru-baru ini.

Bagi memudahkan urusan pendaftaran dan bayaran, pengguna boleh memuat turun aplikasi Trash4Cash dengan cara mengimbas kod bar pada fasiliti.

Dibangunkan menerusi Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani), pusat kitar semula pandu lalu automatik itu berjaya mengurangkan tenaga kerja.

Hal ini kerana fasiliti itu dikawal secara perkongsian jarak jauh (remote sharing) menerusi talian internet tanpa wayar (Wi-Fi).

“Fasiliti ini beroperasi selama 24 jam setiap hari dan tidak memerlukan pemantauan pekerja. Segalanya dibuat secara digital bermula daripada urusan pendaftaran pengguna dengan cara imbas kod disediakan.

“Pengguna hanya perlu mengumpulkan barangan terpakai dalam bungkusan plastik dan kotak atau diikat menggunakan tali, sebelum mencetak maklumat hasil imbasan menerusi mesin pencetak termal digital.

“Maklumat ini perlu diletakkan pada barangan yang hendak dimasukkan ke dalam fasiliti kitar semula. Hanya pilihan derma dan insurans sahaja yang akan menerima bayaran,” katanya.

Fasiliti tersebut menggunakan tenaga elektrik hasil janaan kuasa solar untuk lampu pada waktu malam dan kawalan kamera litar tertutup (CCTV).

Pemantauan menerusi CCTV juga membolehkan pihak pengurusan memastikan fasiliti itu tidak diceroboh atau menjadi mangsa vandalisme oleh individu tidak bertanggungjawab.

Bagi mengelak kejadian tidak diinginkan, siren digunakan untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Biarpun cuba mengetengahkan penggunaan teknologi, namun pengasingan bahan kitar semula perlu dibuat secara manual bagi mengelakkan penipuan.

“Pelanggan perlu memberi kerjasama dengan cara mengasingkan bahan kitar semula mengikut jenis dan tidak mencampurkan benda asing seperti kaca, kayu, sisa sampah atau fabrik (pakaian).

“Fasiliti ini hanya menerima bahan jenis plastik, kertas, kotak, besi dan aluminium.

“Kami cuba untuk menggunakan kaedah yang lebih canggih seperti mengenal pasti berat barang.

Mesin Trash4Cash membantu memudahkan orang ramai mengitar semula barangan.

“Bagaimanapun, kami tetap bimbang berlaku penipuan sekiranya pelanggan mencampur benda asing.

“Sebenarnya, kami ingin menerapkan penggunaan teknologi terutama aplikasi dan sistem solar seiring dengan gaya hidup masyarakat masa kini,” katanya.

Untuk makluman, fasiliti kitar semula pandu lalu itu diperbuat daripada kontena yang sudah diubah suai dengan saiz 3.6 meter (m) panjang, 8m (lebar) x 8m (tinggi) supaya boleh dialihkan atau dipindahkan dengan menggunakan lori.

Bercerita lanjut, Shafreez Redza memberitahu, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar setiap kawasan mempunyai fasiliti kitar semula.

Jelasnya, Trash4Cash hanya menyediakan fasiliti dan sistem IoT, manakala pemilikan pula boleh dibuat oleh pihak swasta, persendirian atau pertubuhan penduduk.

“Jika ada pihak swasta yang berminat untuk memiliki fasiliti ini, ia tidak menjadi masalah.

“Cumanya, pengendalian, kemudahan internet, jualan barangan, bayaran kepada pelanggan dan data dalam aplikasi mesti di bawah kendalian kami.

“Kami akan menguruskan bahagian operasi kerana ingin memastikan kutipan, sistem, pemantauan dan bayaran dapat dibuat dengan betul termasuk penyelenggaraan fasiliti serta aplikasi,” ujarnya.

Selain menjaga keselamatan, pemantauan CCTV juga membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti jumlah bahan kitar semula di dalam kontena.

“Pihak operasi akan membuat pemantauan dan barangan akan diambil sekiranya sudah mencapai kapasiti 50 peratus.

“Kebiasaannya, kutipan akan dibuat sama ada seminggu sekali atau dua minggu sekali.

“Pengguna juga boleh membuat tempahan kutipan untuk barangan bersaiz besar seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh atau barangan elektrik lain.

“Pihak kami akan terus ke rumah untuk melakukan kutipan.

“Setelah mengenal pasti berat dan jenis barangan, bayaran akan dibuat dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh kutipan,” katanya.

Selain Selangor, fasiliti kitar semula Trash4Cash turut dibangunkan di beberapa negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN