POKOK kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus adalah sejenis tanaman jangka pendek yang berserat, namun bukan berkayu.
Kenaf boleh menghasilkan tali, benang, kain guni dan kegunaan komersial sama ada pembuatan produk kertas, bahan binaan, automotif serta makanan haiwan.
Terbaharu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli berjaya menghasilkan produk minuman iaitu teh hasil penyelidikan dan inovasi yang dijalankan.
Pengarah Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFFSA), Ts. Dr. Maryana Mohammad Nor berkata, inovasi dan reka cipta baharu itu didaftarkan sebagai iKenaf menggunakan Dana Inovasi Penyelidikan Tan Sri Fng Ah Seng sejak 2017 lagi.
Menurutnya, kejayaan penghasilan produk itu kemudiannya didaftarkan dengan nama BioKenaf iaitu produk minuman infusi organik yang diperbuat daripada campuran daun kenaf, serai dan halia.
“Ia dirumus secara saintifik menggunakan teknologi pemprosesan terkini sebagai produk minuman selamat. Produk ini merupakan hasil penyelidikan berterusan di UMK dengan kerjasama dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
“Manakala hak eksklusif pemasaran diberikan kepada alumni pelajar UMK iaitu syarikat Aura Biocare Sdn. Bhd. bertanggungjawab meluaskan pemasaran Biokenaf,” katanya dalam temu bual di Kampus Jeli, UMK baru-baru ini.
Maryana berkata, permulaan penyelidikan itu bermula pada 2017 melalui inisiatif dana penyelidikan Tan Sri Fng Ah Seng di bawah tajuk ‘iKenaf: Validation and Optimization for Food Industry’ sebelum menerima dana daripada UMK,” katanya.

Pada awalnya, penyelidikan kenaf memberi fokus kepada penyelidikan ‘fundamental’ berkaitan sebatian aktif yang terdapat dalam daun kenaf.
Katanya, fokus utama adalah kepada bahan yang kurang digunakan pada pokok kenaf iaitu bahagian daun.
“Biasanya, batang kenaf diambil dan diproses untuk dijadikan fiber dalam industri tekstil, perabot dan lain-lain, namun daunnya terbuang begitu sahaja,” ujarnya.
Maryana berkata, hasil penyelidikan menunjukkan potensi besar daun kenaf untuk dijadikan produk hiliran yang dibungkus dalam ‘sachet’ sehingga berjaya memikat hati pengguna.
“Dapatan kajian mendapati, daun kenaf mempunyai keunikan tersendiri, sinonim dengan nama spesiesnya iaitu cannabinus.
“Selain nama spesies yang unik, bahan kimia aktif yang wujud di dalam daun ini juga menjadikannya bernilai tinggi,” ujarnya.
Katanya, penyelidikan itu adalah titik awal bagaimana kumpulan penyelidik UMK mula meneroka kebaikan dan potensi daun kenaf yang sebelum ini dibuang begitu sahaja.
“Kajian awal produk ini merangkumi penghasilan beberapa formulasi daun kenaf bersama gabungan herba berbeza.
“Namun, setelah pelbagai inovasi dibuat, gabungan daun kenaf bersama serai dan halia mempunyai kesan yang optimum, selain mendapat sambutan hebat pengguna.
“Ia boleh diminum dengan selamat berbanding daun mentah kenaf yang tidak boleh dimakan atau dijadikan ulam,” katanya.
Menurut Maryana lagi, projek penyelidikan itu bermula dengan ‘preliminary study’, sebelum penyelidikan dan pembangunan yang berterusan dilakukan sehingga tahun 2019.
Ujarnya, prototaip produk telah dikeluarkan dan ‘market study’ dijalankan bagi mengenal pasti potensi dan peluang pasaran.
Katanya, ia melalui beberapa fasa penyelidikan dan pembangunan sehingga pada tahun 2022, sebelum produk sulung iKenaf dikeluarkan, namun dipasarkan dalam skala kecil kerana stok terhad.
“Pada tahun 2024, satu perjanjian pelesenan telah dimeterai bersama Aura Biocare Sdn. Bhd. (syarikat alumni pelajar UMK) bagi membenarkan pemasaran dan penjualan produk secara besar-besaran.
“Sehingga kini, jumlah yang terjual mencecah jutaan ringgit.
“Pelbagai pertandingan inovasi telah disertai oleh kumpulan penyelidik ini bagi membuktikan kemampuannya bersaing di peringkat nasional dan global.
“Selain itu, ujian sensori dan penerimaan pengguna turut dijalankan,” katanya.
Produk ini telah didaftarkan paten di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan telah memenangi pelbagai anugerah penyelidikan.
“Dari aspek nutrisi dan keselamatan produk, pelbagai uji kaji termasuk maklumat nutrisi dan analisis logam berat telah dijalankan,” ujarnya.
Maryana memaklumkan, sepanjang lima bulan produk itu berada di pasaran, kos yang telah dikeluarkan dianggarkan berjumlah RM1.2 juta merangkumi penghasilan dan pemasaran.














