fbpx
Nur SYAHIRAH menunjukkan lokasi premis perniagaan yang diusahakannya di Lot 411, Lebuh Arked, Taman Delima, Sungai Petani.

Hikmah jaga anak sakit, Allah beri lebih rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Pengorbanan seorang suri rumah yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anaknya yang sakit berbalas apabila perniagaan makanan yang dibuka memberikan rezeki berganda kepada keluarganya.

Nur Syahirah Ahmad, 32, berkata, sebelum ini dia bekerja dalam bidang pemasaran yang membolehkannya mendapat pendapatan yang agak lumayan.

Bagaimanapun katanya, selepas lapan tahun berkhidmat, dia terpaksa melupakan bidang yang diminatinya sejak kecil itu bagi memberi ruang menjaga salah seorang anaknya yang sakit.

“Keputusan ini (berhenti ke­rja) mendapat sokongan suami, Muhammad Syafik Shamsuddin, 37, yang mahu saya mempunyai lebih banyak masa bersama anak yang sakit serta dua lagi anak perempuan kami.

“Selepas berhenti kerja pada September 2022, hati saya lebih tenang dan tidak lagi rasa bersalah kepada majikan dan kawan-kawan sekerja kerana terlalu ke­rap bercuti untuk membawa anak yang menghidap penyakit asma,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Lot 411 Lebuh Arked, Taman Delima di sini baru-baru ini.

Menurut Nur Syahirah, memandangkan dia mempunyai masa senggang yang panjang selepas mengurus segala keperluan anak kedua, Nur Khaira Irdiana, 6, yang mengalami masalah kesihatan, kakaknya Nur Naila Zulaikha,8, serta adiknya Nur Raisya Napisal, 4, dia kembali meneruskan minat dalam bidang masakan.

Kata anak kedua daripada lima beradik itu, pada mulanya dia membuat perkhidmatan menghantar makanan kepada pelanggan melalui pesanan, selain membuka sebuah warung kecil berhampiran kediamannya di Taman Arked.

Katanya, sejak kesihatan Nur Khaira semakin baik dan perkhid­matan makanan yang disediakan mendapat sambutan, dia kemudian membuat keputusan membuka sebuah kedai makan melalui jenama Seha Corner di Lot 411 Lebuh Arked, Taman Delima di sini.

“Rupanya hikmah besar saya berhenti kerja kerana Allah hendak memberi lebih banyak rezeki kerana mampu menjaga anak sendiri. Berbeza sebelum ini, saya terpaksa berkejar ke sana sini sehingga mengabaikan kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, dia mempunyai banyak pengalaman memasak dan menyediakan menu makanan kerana se­ring mengikuti ibu dan bapanya berniaga di pasar malam, pasar Ramadan dan penyediaan ka­tering untuk majlis perkahwinan berskala besar semasa masih bersekolah.

“Syukur kerana pengalaman ini dapat diadaptasi dalam perniagaan saya sekarang melalui penyediaan pelbagai menu makanan yang boleh didapati di Seha Corner dengan harga yang berbaloi.

“Antara menu yang menggunakan resipi keluarga ialah set gulai ikan, asam pedas ikan pari dan keli, beraneka sup serta masakan panas yang sedap dan menge­nyangkan,” katanya.

Kini dengan peningkatan jualan, dia mampu membuka peluang pekerjaan kepada seramai 12 pekerja tetap, selain memberi ruang kepada pekerja tambahan mencari wang saku jika premisnya dipenuhi pelanggan melebihi hari biasa.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat melibatkan langganan menu makanan boleh terus berhubung dengan Nur Syahirah di talian 011- 3307 9244.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN