fbpx
Nurul Nasriah Husna sedang membuat rujukan dengan menggunakan kanta pembesar berlampu untuk memudahkannya membaca bahan bacaan.

UiTM giat perkasa siswa OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) merupakan pusat pengajian tinggi terbesar di negara ini. Universiti tersebut terdiri daripada satu kampus utama, 12 kampus negeri berautonomi dan 21 kampus satelit yang menjadikannya 34 kampus keseluruhan di Malaysia.

Sebagai sebuah pusat pengajian tinggi, UiTM sentiasa komited untuk menyediakan kemudahan atau prasarana pendidikan yang terbaik untuk kesemua pelajar, termasuk kalangan orang kurang upaya (OKU).

Dalam aspek kemudahan OKU, seluruh 40 lokasi perpustakaan dalam sistem UiTM seluruh negara menyediakan prasarana bagi memudahkan mobiliti golongan tersebut.

Terdapat sembilan jenis kemudahan OKU di seluruh perpustakaan UiTM meliputi Sistem e-VIEW, lif OKU, Sistem Keselamatan Keluar-Masuk Perpustakaan dan pemegang laluan OKU, Sentuhan

Amaran Bahaya di tangga, Laluan Sentuhan, Laluan Berkerusi Roda, tandas OKU dan tempat letak kereta OKU.

Namun, dalam era digital dan letusan teknologi kecerdasan buatan (AI), penggunaan komputer boleh dikatakan paling menjadi suatu keperluan asas dalam kehidupan seharian pelajar termasuk pelajar OKU.

Penggunaan komputer dewasa ini begitu signifikan untuk kelancaran proses pembelajaran pelajar dalam menyiapkan tugasan yang diberikan para pensyarah.

Bagi pelajar OKU, teknologi komputer tidak hanya sekadar alat bantu, tetapi juga satu medium yang memperluas peluang dan meningkatkan aksesibiliti dalam menuntut ilmu.

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam, Selangor, mengakui kepentingan menawarkan peluang yang sama kepada semua pengguna untuk mengakses maklumat dan pengetahuan.

Menurut Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Azizi Jantan, untuk mencapai matlamat ini, PTAR telah melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan pihaknya kekal inklusif dan komited menampung keperluan individu kurang upaya antaranya pemasangan Sistem e-VIEW pada komputer.

“Sembilan kemudahan untuk OKU adalah bukti komitmen pihak UiTM untuk memperkasa pendidikan golongan tersebut. Dengan memahami keperluan khas OKU, kemudahan komputer yang lebih mesra membantu meningkatkan kualiti hidup mereka sebagai seorang pelajar.

“Kami mempunyai koleksi buku tulisan Braille untuk OKU cacat penglihatan dan Sistem e-VIEW untuk cacat separuh penglihatan,” katanya kepada K-Kampus.

AZIZI memberitahu dengan kreativiti dan inovasi, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) sedang mencipta kemajuan signifikan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pengguna kurang upaya.

Azizi (kiri) melihat Nurul Nasriah Husna sedang membuat rujukan bahan bacaan dengan menggunakan Sistem e-VIEW di PTAR UiTM.

Katanya lagi, untuk pengguna cacat separuh penglihatan. akses terhadap bahan bacaan di PTAR dapat dilakukan dengan penambahbaikan holistik melibatkan kemudahan komputer sedia ada.

“Bagi meningkatkan aspek kebolehcapaian fizikal, kami telah membuat penyesuaian yang diperlukan kepada kemudahan kami.

“Kami telah menyediakan meja pintar pada komputer bersistem e-VIEW dengan ketinggian yang boleh diubah suai secara automatik bagi individu yang menggunakan kerusi roda atau mempunyai kekangan mobiliti,” katanya.

Jelas Azizi lagi, meja pintar tersebut menawarkan permukaan yang lebih besar untuk memastikan keselesaan pengguna dan kemudahan pergerakan apabila mereka menggunakan Sistem e-VIEW.

Meja tersebut turut dilengkapi kanta berlampu dan kamera yang akan merakam gambar pada halaman buku serta memaparkan view di komputer.

Sistem e-VIEW ini boleh diibaratkan ‘sinar’ untuk pelajar OKU yang ingin membuat rujukan seperti pelajar normal lain di perpustakaan.

Selama ini dengan rujukan yang terhad pelajar OKU penglihatan hanya memanfaatkan bahan ilmiah yang dibekalkan pensyarah dan bahan bacaan tulisan braille sedia ada.

Sistem e-VIEW merupakan paparan skrin komputer dengan saiz tulisan besar daripada biasa yang dapat membantu pengguna berkadar penglihatan minimum untuk membaca bahan dipaparkan.

Sistem e-VIEW turut dilengkapi fungsi text to speech untuk membantu pengguna mengakses kandungan teks.

“Kita dari masa ke semasa membuat pemantauan terhadap aksesibiliti pengguna terhadap bahan yang ada di PTAR.

“Untuk Sistem e-VIEW kita berharap lebih ramai pelajar dalam kalangan OKU yang mengalami rabun teruk atau cacat separuh penglihatan memanfaatkan kemudahan yang kita sediakan di sini,” ujarnya.

Azizi berkata, selain Sistem e-VIEW, PTAR turut memiliki koleksi ilmiah braille yang boleh diakses OKU cacat penglihatan. Koleksi tersebut katanya, dihasilkan menerusi Projek Braillethon yang diadakan pada tahun lalu.

“Projek tersebut melibatkan karya ilmiah yang ditaip ke dalam komputer menerusi format Microsoft Word.

“Kemudian bahan-bahan yang ditaip itu akan ditukarkan kepada format braille dengan perisian ‘Duxbury Braille Translator’ (DBT),” katanya.
Azizi berkata, Projek Braillethon yang telah dilaksanakan hasil kerjasama U-DServeD, PTAR UiTM, Majlis Perwakilan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan KL Braille Resources menghasilkan bahan ilmiah dalam bentuk paparan tulisan braille.

Azizi berkata, projek tersebut melibatkan 200 peserta yang mana 24 kakitangan perpustakaan terlibat sebagai penyemak naskhah bercetak kepada digital.

“Usaha dinamakan Projek Braillethon 2024 dengan tema ‘Helaian Ilmu Membawa Cahaya’ ini telah dilaksanakan selama dua hari di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam pada Jun tahun lalu.

“Projek tersebut adalah inisiatif UiTM untuk memperkasa OKU melalui Projek Braillethon yang telah menghasilkan 250 buku braille untuk PTAR dan seterusnya bakal menjadikan PTAR UiTM antara gedung khazanah ilmu berformat braille yang terbanyak di Malaysia,” katanya.

Majlis Sambutan Hari OKU UiTM 2024 pada hujung tahun lalu turut menyaksikan penyerahan simbolik 250 buku braille tersebut kepada PTAR UiTM. Projek Braillethon ini telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Most Digitized Books in a Programme.

Simbolik penyerahan buku berformat braille di majlis ini mendapat perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menyempurnakan perasmian sambutan Hari OKU UiTM itu.

Sementara itu, seorang pelajar OKU cacat separuh penglihatan daripada Akademi Pengajian Bahasa, Nurul Nasriah Husna Mohd. Nasir berkata, penggunaan Sistem e-VIEW memberi manfaat yang besar kepada pengguna sepertinya.

Menurutnya, paparan aksara yang boleh diperbesar yang membentuk perkataan-perkataan memudahkan dirinya membaca bahan ilmiah yang diingininya.

“Secara keseluruhan Sistem e-VIEW memberi manfaat kepada OKU separuh penglihatan seperti saya untuk membuat rujukan bahan yang ada dalam PTAR ini.

“Sebagai OKU penglihatan pihak UiTM bukan sahaja memberi kemudahan pembelajaran terbaik untuk saya di kelas, malah dengan adanya Sistem e-VIEW rujukan untuk bahan ilmiah di PTAR lebih dipermudahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN